Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Timbang semula pembinaan hospital di Padang Besar - MB Perlis


Tarikh kemaskini: 29/08/2019




KUALA PERLIS, 29 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Pusat diminta mempertimbangkan semula  dalam Belanjawan 2020 nanti rancangan pembinaan sebuah hospital kerajaan di daerah Padang Besar dengan peruntukan RM300 juta seperti yang diluluskan oleh kerajaan pusat sebelum ini.

Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man berkata rancangan pembinaan hospital itu telah dihentikan berikutan pengkajian dan penstrukturan semula bajet pembangunan bagi negeri ini oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas PRU14 tahun lepas.

“Kita ada masukkan perkara ini sebagai input kepada kerajaan untuk dinilai. Kita juga mahu pembinaan hospital itu diteruskan kerana memberikan faedah dan manfaat kepada rakyat,” kata Azlan.

Beliau ditemui Bernama selepas merasmikan program Kampungku Permai Lagi Mempersona di Kampung Hujong Tanjung dan Sambutan Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa peringkat negeri di Kampung Pulau Ketam di sini, hari ini.

Program itu dijalankan dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Perhutanan negeri bersama penduduk kampung di sini serta para pelajar dari Institut Kemahiran Belia Negara dan pelajar sekolah.

Pada program itu turut diadakan penyerahan simbolik bot pelancong oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kepada AADK.

Menurut Azlan, Kerajaan Pusat PH telah meluluskan sejumlah peruntukan bagi pembinaan sebuah klinik di Padang Besar dan beliau turut dimaklumkan Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar akan dinaik taraf selepas ini.

“Kita juga tidak tahu apakah dengan menaik taraf HTF, pembinaan hospital di Padang Besar tidak akan diteruskan. Kita berharap kerajaan sedia untuk meneruskan projek berkenaan,” kata Azlan.

Sebelum ini, empat projek bertaraf mega bernilai RM1 bilion diluluskan bagi negeri ini oleh kerajaan Persekutuan sebelum ini termasuk Hospital Padang Besar.

Selepas PH mengambil alih kerajaan Persekutuan, tiga projek sahaja diteruskan selepas dikaji semula iaitu Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA), Terminal Pengangkutan Awam Bersepadu Kangar Sentral di Seriab dan Sekolah Sukan di Bukit Chabang.

Selain itu, Kerajaan Perlis telah merangka pelbagai idea dan input untuk diajukan kepada Kerajaan Pusat bagi memenuhi keperluan pembangunan sekali gus merancakkan ekonomi di negeri ini.

Terdahulu, Azlan bersama barisan Exco Kerajaan negeri menanam pokok bakau di Kampung Pulau Ketam.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel