Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tidak ramai pencarum Perkeso di Kelantan memanfaatkan HSP


Tarikh kemaskini: 29/08/2019





KOTA BHARU, 29 Ogos (Bernama) -- Hanya 189 individu atau tiga peratus daripada 5,437 pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Kelantan menjalani Ujian Program Saringan Kesihatan (HSP) sejak Januari hingga Ogos tahun ini.

Pengarah Perkeso Kelantan Nora Yaacob berkata ia berikutan fobia menjalani pemeriksaan kesihatan, tidak menyedari wujudnya program serta tiada kepekaan daripada majikan menjadi antara punca peratusan pemeriksaan HSP yang rendah di negeri ini.

"Ujian ini sebenarnya adalah percuma terutama kepada golongan pencarum berusia 40 tahun ke atas dan dimulakan pada 2013 lagi namun tidak ramai yang mengambil peluang ini disebabkan pelbagai faktor.

"Walaupun sudah diuar-uarkan namun tidak ramai yang mengambil kesempatan. Jika dilakukan di klinik swasta sudah pasti kosnya tinggi sehingga mencecah lebih RM200," katanya kepada pemberita pada Majlis HSP di Yayasan Islam Kelantan (YIK) di sini, hari ini.

Nora berkata sejak 2013, seramai 47,280 pencarum di Kelantan layak menjalani HSP namun daripada jumlah berkenaan, hanya 5,709 pencarum telah menggunakan baucar yang diberikan.

Pada majlis itu seramai 559 kakitangan YIK yang berumur 40 tahun ke atas diwajibkan menjalani HSP bagi mengukur tahap kesihatan mereka.

Nora berkata ujian kesihatan yang dijalankan melibatkan kakitangan YIK hari ini adalah yang terbesar dilakukan di Kelantan setakat ini dan berharap agensi lain turut berbuat demikian pada masa hadapan.

Beliau berkata program kali ini adalah hasil kerjasama Perkeso bersama YIK dan sebuah klinik panel Perkeso melibatkan 10 doktor dan 15 kakitangan Perkeso.

"Perkeso juga memudahkan lagi proses saringan kesihatan ini di mana bermula September 2018 tiada lagi baucar saringan kesihatan dikeluarkan sebaliknya pencarum hanya perlu menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk memperoleh nombor baucar HSP ke telefon mudah alih dan terus ke klinik panel Perkeso berdekatan.

"Di Kelantan sahaja ada 98 buah klinik panel yang dilantik Perkeso kepada pencarum yang layak iaitu yang berumur 40 tahun ke atas. Pencarum juga boleh ke portal SeHAT-PERKESO untuk maklumat lanjut," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Johor umum bantuan khas kewangan sebulan gaji buat penjawat awam negeri

 
     

Cadang Pahang kenakan sewa tinggi kepada Lynas - ADUN Kemayan

 
     

UMT anjur majlis khas untuk graduan kehilangan ibu pada hari konvokesyen

 
     

Ahmad Zahid arah keluar RM17,953,185.21 bina bangunan Yayasan Akalbudi - saksi

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel