Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Peniaga rugi RM40,000 perhiasan batu permata dilarikan lelaki menyamar polis


Tarikh kemaskini: 29/08/2019





KUANTAN, 29 Ogos -- Seorang peniaga batu pertama di Pekan dekat sini, mendakwa kerugian RM40,000 selepas tujuh perhiasan wanita di kedainya dilarikan seorang lelaki yang menyamar sebagai anggota polis, semalam. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa berusia 47 tahun mendakwa suspek yang dianggarkan berumur sekitar 45 tahun dan berpakaian t-shirt biru putih datang ke kedainya di bandar Pekan sekitar 2.10 petang. 

Suspek didakwa memperkenalkan diri sebagai 'Din' kepada suami mangsa dan memberitahu perlu membeli perhiasan berbatu permata untuk dihadiahkan kepada Ketua Polis Daerah dan seorang pegawai dari Bukit Aman. 

"Suspek mengatakan perhiasan itu adalah bersempena Hari Kebangsaan dan kenaikan pangkat sebagai Ketua Polis Daerah sebelum melihat dan memilih perhiasan yang dikehendaki. 

"Suspek kemudiannya membawa keluar perhiasan itu dengan alasan perlu menunjukkan perhiasan itu kepada pegawai atasan dan meninggalkan sampul surat yang agak tebal kepada mangsa dikatakan berisi wang tunai RM50,000," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. 

Mohd Wazir berkata antara perhiasan diambil suspek ialah set permata nilam yang diikat dengan emas putih, sepasang subang diperbuat daripada batu delima, nilam dan zamrud, gelang daripada permata nilam diikat dengan emas putih dan empat bentuk cincin delima dan nilam yang dicampur berlian.  

Suspek juga telah memberi arahan kepada mangsa untuk tidak membuka sampul surat itu sehingga dimaklumkan, namun mangsa melanggar arahan itu selepas berasa curiga kerana suspek tidak kembali ke kedai dalam tempoh masa yang lama.

“Mangsa mendakwa sampul surat itu hanya berisi kertas kosong menyebabkan dia berasa ditipu oleh suspek,” katanya. 

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan semalam, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. 

-- BERNAMA 


 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel