Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Taman Pertanian Sekayu jadi tumpuan peminat pulasan


Tarikh kemaskini: 29/08/2019




KUALA BERANG, 29 Ogos -- Setiap kali musim buah, Taman Pertanian Negeri Sekayu (TPNS) di sini menjadi tumpuan ramai untuk mendapatkan pelbagai jenis buah-buahan segar dari dusun pada harga berpatutan.

Sebut sahaja apa jenis buah-buahan tempatan, semuanya ada di dusun seluas 20 hektar di taman pertanian itu.

Namun, keunikan sebenar TPNS ialah ia satu-satunya dusun yang menanam pokok pulasan berskala besar di Terengganu iaitu sebanyak 200 pokok.

Bercakap kepada pemberita di sini, hari ini, Pengurus TPNS Mohd Amran Awang berkata pengeluaran buah pulasan tahun ini dijangka meningkat kepada lima tan berbanding tiga tan pada tahun lepas.

"Dusun pulasan di TPNS seluas 1.5 hektar mula mengeluarkan hasil sejak lima hari lalu dan dijangka berterusan sehingga pertengahan September.

"Setiap hari, memang ramai yang datang ke TPNS ini untuk membeli buah pulasan yang dijual sangat murah iaitu hanya RM10 untuk tiga kilogram berbanding RM5 hingga RM7 sekilogram di pasaran luar," katanya.

Selain menjual pulasan kepada orang ramai, TPNS turut memberi sumbangan buah eksotik itu kepada murid sekolah di sekitar Hulu Terengganu sebagai kempen menggalakkan mereka memakan buah-buahan tempatan.

"Masih ramai yang tidak kenal buah pulasan, malah ramai yang keliru kerana rasanya yang mirip dengan rambutan...setiap tahun saya akan menerima pelbagai soalan dari pengunjung kerana mereka mengatakan buah ini agak sukar didapati di pasaran.

"Di sini, pengunjung bukan sahaja berpeluang membelinya dengan harga yang murah malah berpeluang memetiknya sendiri dari pokok di samping meneroka lebih banyak ilmu berkaitan sektor pertanian," katanya.

TPNS yang terletak bawah pengurusan Jabatan Pertanian Negeri Terengganu mula dibangunkan pada 1983 bagi empat tujuan iaitu pelancongan berasaskan pertanian, ekonomi, pendidikan dan sebagai kemudahan rekreasi untuk orang ramai.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


 

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel