Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tidak tepat mengatakan Kelantan negeri termiskin - Mohd Amar


Tarikh kemaskini: 28/08/2019





KOTA BHARU, 28 Ogos -- Kerajaan Pas Kelantan mempertikaikan kenyataan Kerajaan Persekutuan yang mengklasifikasikan negeri ini sebagai paling miskin di Malaysia dan menganggap petunjuk yang digunakan bagi status itu sebagai tidak memadai.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata sebenarnya soal kemiskinan di Kelantan perlu dilihat dari pelbagai sudut.

Jelasnya, jika hendak dikatakan miskin namun kadar pengangguran dan kemiskinan di Kelantan adalah sama sahaja di peringkat nasional.

"Kita tidak menafikan Kelantan bukanlah negeri yang kaya namun untuk menyatakan sebagai antara negeri termiskin adalah tidak tepat.

"Kita juga mahu tahu apakah ukuran yang digunakan sebagai menunjukkan Kelantan antara negeri termiskin. Jika dikira data orang yang berdaftar dengan e-Kasih dan individu yang membuat pinjaman tabung Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM)...rasanya banyak lagi perkara yang perlu dijelaskan," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Jelasnya, jika hendak dibandingkan pendapatan RM2,000 sebulan di Kuala Lumpur dan di Kelantan, sudah pasti ia berbeza.

Katanya di Kelantan pendapatan sebanyak RM2,000 sudah 'boleh hidup' dan jika di Kuala Lumpur sudah pasti tidak mencukupi disebabkan pelbagai kos yang tinggi.

"Pendapat saya, mungkin sikap orang Kelantan yang tidak suka menonjolkan di segi pendapatan mereka kerana sebab-sebab tersendiri.

"Apa yang kita tahu, walaupun kelihatan miskin tetapi penduduk di sini kemungkinan mempunyai harta seperti tanah dan rumah sewa berbanding pendapatan berdaftar mereka," katanya mengulas mengenai kenyataan yang mengatakan Kelantan sebagai antara negeri termiskin di Malaysia selepas Sabah dan Sarawak.

Mohd Amar berkata Kelantan adalah sebuah negeri yang tidak kaya namun untuk dinyatakan sebagai negeri paling miskin itu tidak tepat.

Semalam dilaporkan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Senator Mohd Radzi Md Jidin menyatakan sebagai Kelantan masih negeri termiskin di Semenanjung dan ketiga di Malaysia selepas Sabah dan Sarawak.

Dr Mohd Radzi meminta semua pihak supaya menerima hakikat bahawa Kelantan merupakan negeri termiskin.

Statistik dalam pengkalan data e-Kasih sehingga Jun lalu menunjukkan miskin tegar di Kelantan adalah seramai 6,218 orang manakala miskin seramai 31,217 orang.

Mohd Radzi berkata, dari segi statistik, kadar kemiskinan Kelantan menyamai purata kemiskinan peringkat nasional iaitu 0.4 peratus namun hakikatnya masih ada kumpulan yang ketinggalan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel