Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pemasangan tidak sempurna punca utama kemalangan elektrik


Tarikh kemaskini: 28/08/2019





KOTA BHARU, 28 Ogos -- Suruhanjaya Tenaga (ST) merekodkan 1,005 kes kemalangan elektrik dari 2002 hingga Ogos tahun ini dengan 499 kes kematian dan 506 kes kecederaan.

Pengarah Jabatan Kawal Selia Keselamatan ST Ir Md Zakuan Ibrahim berkata jumlah itu termasuk 31 kes di seluruh negara tahun ini yang membabitkan 9 kematian dan 22 kecederaan.

"Daripada siasatan yang dilakukan pemasangan yang tidak sempurna adalah penyumbang utama kepada kes kemalangan iaitu sebanyak 36 peratus diikuti kegagalan mematuhi prosedur kerja selamat 30 peratus.

"Manakala selebihnya adalah penyalahgunaan sistem pendawaian, kerosakan perkakasan elektrik, pencerobohan dan aktiviti orang awam di kawasan pemasangan elektrik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Mempertingkatkan Kesedaran Keselamatan Elektrik dan Gas Secara Berkesan di sini, hari ini.

Seminar tersebut dihadiri 200 peserta daripada pelbagai pihak termasuk jabatan kerajaan, pihak berkuasa tempatan, pengimport dan penjual kelengkapan elektrik, hotel, kontraktor dan pengusaha dobi bagi meningkatkan kesedaran berkenaan isu keselamatan elektrik dan gas berpaip.

Md Zakuan berkata ST memandang serius berhubung kes yang membabitkan kemalangan elektrik kerana ia melibatkan hidup dan mati seseorang.

"Oleh itu ST sentiasa berusaha mengenalpasti kaedah berkesan dan  menambahbaik peruntukan undang-undang dan piawaian standard sedia ada supaya kemalangan dapat dibendung," katanya.

Katanya kes melibatkan kemalangan elektrik telah menurun dari semasa ke semasa dan terdapat  31 kes telah dilaporkan sehingga Ogos tahun ini berbanding 56 kes sepanjang tahun lepas.

Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata pengusaha dobi khususnya dobi layan diri yang beroperasi selama 24 jam perlu memastikan sistem perpaipan gas yang  dipasang memenuhi keperluan yang ditetapkan dalam Akta Bekalan Gas 1993 dan Peraturan-peraturan Gas 1997.

Katanya antara kelulusan yang diperlukan dalam pengendalian premis dobi termasuk kelulusan untuk memasang, kelulusan mengendali dan lesen yang semuanya dikeluarkan oleh ST.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel