Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sesi persekolahan SK, SMK Tanjung Adang ditangguhkan sehingga esok akibat kebakaran hutan


Tarikh kemaskini: 26/08/2019





JOHOR BAHRU, 26 Ogos (Bernama) -- Sesi persekolahan Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Adang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Adang, Gelang Patah, dekat sini, ditangguhkan hari ini dan esok berikutan kebakaran 16 hektar hutan berhampiran kedua-dua sekolah berkenaan sejak Rabu lepas.

Timbalan Pengarah Pendidikan (Pengurusan Sekolah) Jabatan Pendidikan Negeri Johor Ab Rahim Lamin berkata penangguhan dilaksanakan atas nasihat Jawatankuasa Bencana Negeri Johor bagi memastikan keselamatan murid, guru dan kakitangan kedua-dua sekolah tidak terjejas.

“Setakat ini tiada murid terjejas, namun, pihak kami sudah melakukan tinjauan di kedua-dua sekolah berkenaan, puncanya sekarang adalah kuantiti asap yang kami rasa boleh mendatangkan kesan tidak sihat.

"Jadi selepas menerima nasihat daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pegawai Daerah Johor Bahru dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor, kita tutup sekolah ini selama dua hari," katanya yang dihubungi di sini hari ini.

Ab Rahim berkata SMK Tanjung Adang yang mempunyai 245 pelajar terletak bersebelahan lokasi kebakaran hutan manakala SK Tanjung Adang yang mempunyai 148 murid pula, terletak kira-kira 200 meter dari lokasi kebakaran.

Beliau berkata pengisytiharan cuti berkenaan akan diklasifikasikan sebagai isu bencana dan lanjutan penangguhan sesi persekolahan akan diteliti esok sekiranya keadaan kebakaran di kawasan itu belum dapat diatasi sepenuhnya.

“Berikutan penangguhan sesi persekolahan ini, guru-guru dan kakitangan sekolah perlu melaporkan diri bertugas di sekolah-sekolah lain yang berhampiran,” katanya.

Pagi tadi, Pemangku Raja Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang meninjau kebakaran terbabit menitahkan SMK Tanjung Adang ditutup sementara waktu demi memastikan tahap kesihatan pelajarnya tidak terjejas.

Kebakaran hutan di Kampung Pekajang terbabit bermula sejak Rabu lepas (21 Ogos), namun, kira-kira 60 peratus daripada keseluruhan 16 hektar kawasan yang terbakar itu berjaya dipadamkan setakat ini.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     

740 membida nombor pendaftaran kenderaan siri ALL setakat petang ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel