Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Operasi Terminal Feri Antarabangsa Kukup dialih ke Puteri Harbour


Tarikh kemaskini: 26/08/2019





JOHOR BAHRU, 26 Ogos (Bernama) -- Operasi Terminal Feri Antarabangsa Kukup dekat Pontian akan dihentikan sementara mulai 1 Sept ini dan operasinya akan dialih ke Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour, di Iskandar Puteri, mulai hari sama.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohd Solihan Badri berkata penghentian sementara itu berikutan langkah kerajaan negeri menamatkan konsesi syarikat yang mengendalikan terminal tersebut ketika ini, atas sebab-sebab tertentu.

“Kami (kerajaan Johor) sudah memberikan nasihat dan amaran kepada syarikat konsesi tetapi ianya tidak dipenuhi.

“Jadi, mulai 1 Sept ini kita akan menghentikan operasi di situ (Terminal Feri Antarabangsa Kukup) dan kita akan alihkan perkhidmatan terminal yang menyediakan perjalanan feri ke Tanjung Balai, Indonesia itu ke Terminal Puteri Harbour,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pecah tanah Persimpangan Bertingkat Kempas di Taman Setia Tropika, di sini hari ini.

Mohd Solihan berkata mulai 1 Sept juga pengendalian Terminal Feri Antarabangsa Kukup itu akan diuruskan Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) buat sementara waktu sehingga keputusan melantik pengendali baharu dilakukan kerajaan negeri.

Beliau berkata pihak Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan jawatankuasa terlibat sudah mengadakan mesyuarat berhubung penghentian operasi Terminal Feri Antarabanga Kukup, bulan lepas.

Katanya Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Johor kemudian dimaklumkan dan membuat keputusan penghentian operasi itu, minggu lepas.

“Konsesi akur dan mulai memindahkan peralatan serta hentikan operasinya. Jabatan Laut Malaysia juga sudah memberikan notis kepada pelanggan untuk perkhidmatan feri beroperasi sehingga 31 Ogos ini kerana kita tidak mahu penghentian operasi ini dilakukan secara mengejut,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     

740 membida nombor pendaftaran kenderaan siri ALL setakat petang ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel