Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kebakaran hutan di Gelang Patah babitkan tanah milik persendirian berstatus pertanian


Tarikh kemaskini: 26/08/2019





JOHOR BAHRU, 26 Ogos -- Kebakaran kawasan hutan seluas 16 hektar di Kampung Pekajang, Gelang Patah dekat sini sejak Rabu lepas, membabitkan tanak milik persendirian berstatus pertanian.

Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata semakan mendapati ia tidak melibatkan rizab hutan atau tanah kerajaan negeri.

“Ketika ini pelbagai agensi sedang bertungkus lumus memadamkan kebakaran itu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pecah tanah Persimpangan Bertingkat Kempas di Taman Setia Tropika, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohd Solihan Badri dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) Datuk Ismail Ibrahim.

Dr Sahruddin berkata kerajaan negeri dalam masa sama, mengambil maklum dan menjunjung kasih saranan Pemangku Raja Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menitahkan supaya sekolah di kawasan berkenaan ditutup sementara demi kesihatan para pelajar.

Beliau berkata pusat pentadbiran kerajaan Johor di Kota Iskandar, Iskandar Puteri juga akan terus beroperasi seperti biasa walaupun keadaan di sekitarnya berjerebu.

Sementara itu, mengenai Persimpangan Bertingkat Kempas yang membabitkan kerja menaik taraf persimpangan bertingkat Lebuhraya Utara-Selatan (E2) dan Jalan Kempas Lama (J105) itu, Dr Sahruddin berkata ia menelan kos sebanyak RM39.7 juta dengan dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2020.

Projek tersebut merupakan sebahagian daripada perancangan IRDA bagi melancarkan aliran trafik dari dan ke pusat bandar raya Johor Bahru-Kuala Lumpur-Kempas-Seelong dan kawasan sekitarnya.

“Saya dan IRDA sudah mengadakan taklimat dan pecah tanah, maka, kita harap projek ini akan disiapkan mengikut jadualnya iaitu 18 bulan,” katanya.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel