Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kualiti udara Batu Pahat tidak sihat


Tarikh kemaskini: 26/08/2019





KULAI, 26 Ogos -- Pencerapan terhadap kualiti udara melalui lapan stesen pencerapan negeri menunjukkan terdapat trend ke arah kualiti udara yang semakin tidak sihat di beberapa tempat di negeri ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor Tan Chen Choon.

Beliau berkata antara kawasan itu ialah daerah Batu Pahat yang mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada kepekatan partikel halus (PM) 1.02 setakat 9 pagi tadi.

“Setakat ini, Batu Pahat telah mencatat indeks kualiti udara pada kadar PM 1.02. Ini bermakna ia sudah mencapai peringkat tidak sihat. Jadi kita menyeru kepada penduduk kalau rasa tidak selesa atau sesak nafas, sila pakai mask (topeng muka),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai operasi pembersihan khas sampah haram di Taman Lagenda Putra di sini, hari ini.

Tan meminta pemilik tanah yang kosong atau belum diusahakan supaya sentiasa memantau keadaan tanah mereka bagi mengelakkannya dijadikan tapak pembuangan sampah haram yang seterusnya memungkinkan pembakaran dilakukan oleh pihak tertentu.

“Ini telah berlaku di banyak kawasan dan bagi pihak kerajaan, kita tidak akan mengizinkan perkara ini daripada terus berlaku sebab tapak pelupusan haram ini ada melibatkan juga pembakaran.

“Sekiranya pembakaran ini dalam cuaca sekarang yang sudah lebih kurang sebulan tidak hujan, ia mungkin akan mendatangkan kesan atau merebak lebih lagi sekiranya tanah tersebut adalah jenis tanah gambut. Ia akan merebak dengan cepat dan mengundang jerebu ke kawasan-kawasan lain, sekali gus menjejaskan kesihatan penduduk dan pelajar-pelajar di sekolah berdekatan,” katanya.

Mengenai operasi itu pula, Tan berkata pihaknya difahamkan kebanyakan sampah yang dibuang ke kawasan tersebut adalah sisa binaan.

Usaha untuk mengenal pasti identiti pemilik sebenar tanah tersebut akan dilakukan oleh Pejabat Tanah bagi membolehkan tindakan seterusnya diambil mengikut undang-undang sedia ada, katanya.

Ditanya sama ada terdapat komplot antara pemilik tanah yang membenarkan tanahnya digunakan sebagai tempat pembuangan sampah haram, Tan berkata perkara itu perlu disiasat dahulu.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     

740 membida nombor pendaftaran kenderaan siri ALL setakat petang ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel