Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Penderma darah di Pahang meningkat


Tarikh kemaskini: 25/08/2019





TEMERLOH, 25 Ogos (Bernama) -- Jumlah darah yang didermakan orang ramai di Pahang pada tahun lalu meningkat kepada sebanyak 28,754 beg berbanding 26,927 beg pada 2017, kata Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Sha’ari Ngadiman.

Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan mencatat jumlah derma tertinggi iaitu 15,002 beg darah diikuti Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) di sini dengan 6,833 beg darah. 

“Ini ialah satu perkembangan positif namun kita masih menggalakkan orang ramai untuk terus tampil menderma darah,‘ katanya kepada Bernama di sini, hari ini.   

 Dr Sha’ari ditemui pada majlis perasmian Karnival Koi Nak Sihat: Lain Weh! siri ketiga peringkat negeri yang diadakan selama dua hari bermula semalam, di Dataran Temerloh di sini. 

Karnival itu diadakan serentak dengan sambutan Hari Penderma Darah Sedunia yang mana  22 penderma darah di Pahang yang telah menderma darah melebihi 30 kali menerima sijil penghargaan daripada Dr Sha’ari.

Seorang penderma, T. Kanthaiyah, 57, dari Kuantan berkata ini merupakan kali ketiga beliau menerima sijil penghargaan kerana setakat ini, telah menderma darah sebanyak 42 kali. 

Beliau memiliki darah jarang ditemui iaitu A Rh negatif menjadikan pihak hospital sering menghubunginya jika berlaku kekurangan darah tersebut.

Kanthaiyah yang merupakan penyelia teknikal kilang berkata kali pertama beliau menderma darah ialah ketika berusia 23 tahun. 

Walaupun tidak mengharapkan balasan, Kanthaiyah mengakui peristiwa paling diingatinya sepanjang menderma darah ialah semasa dijemput menerima sijil untuk kali pertama pada 2000. 

Ini kerana, sijil itu disampaikan oleh Tengku Mahkota Pahang yang kini Yang di-Pertuan Agong  Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. 

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel