Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

FAMA rancang bangunkan tanah wakaf dengan tanaman durian


Tarikh kemaskini: 25/08/2019





PORT DICKSON, 25 Ogos -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) merancang untuk membangunkan tanah wakaf terbiar khususnya di pinggir bandar dan kawasan terpencil yang terdapat di seluruh negeri, dengan penanaman durian. 

Pengerusinya Ishak Ismail berkata sehubungan itu, beliau meminta kerajaan negeri dan Majlis Agama Islam mempertimbangkan hasrat berkenaan dalam usaha menggalakkan lebih ramai penanam baharu sekaligus memberi nilai tambah kepada tanah wakaf itu sendiri.

“Kita mahu menjalinkan koloborasi bersama kerajaan negeri atau Majlis Agama Islam, untuk melihat tanah terbiar ini dapat diusahakan bersama FAMA kerana kita lihat ia sangat berpotensi untuk kita tingkatkan nilai dengan cara penanaman durian Musang King.

“Kita mahu jadikan tanah wakaf itu sebagai tapak pertanian yang diusahakan oleh penanam muda dan hasil yang diperolehi nanti kita akan pasarkan ke luar sama ada melalui FAMA atau ruang pasaran yang disediakan,” katanya selepas merasmikan majlis penutup Kursus Upskilling Pembangunan Tanaman Musang King di Institut Latihan FAMA, di sini, hari ini.

Menurut Ishak, berdasarkan data yang diperolehi, terdapat banyak tanah wakaf terbiar di seluruh negara yang mencecah nilaian sehingga RM58 billion tetapi ia terkunci begitu sahaja tanpa diusahakan.

Mengenai penanaman durian Musang King, Ishak berkata menurut pakar pertanian, sepohon pokok matang durian Musang King dapat mengeluarkan hasil sebanyak 120 biji durian, dan mampu memberi pulangan sebanyak RM3,600, jika harga buah dijual dengan RM20 sekilogram.

Katanya, pulangan menjual Musang King dilihat lebih tinggi jika dibandingkan dengan tanaman lain seperti nanas, kelapa, kelapa sawit dan getah.

“Harga durian Musang King secara purata mencecah RM30 hingga RM100 sekilogram bagi pasaran tempatan, manakala RM400 hingga RM800 sekilogram bagi pasaran luar negara, tidakkah itu sangat menguntungkan,” katanya.

Ishak berkata walaupun pembangunan durian Musang King diperhebatkan di pasaran luar negara, tetapi pihaknya memberi jaminan bahawa Raja Buah itu boleh dinikmati oleh masyarakat tempatan, denga harga yang mampu milik.

Dalam pada itu, Ishak juga berkata FAMA telah bekerjasama dangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk menjadi salah satu  agensi pembimbing halal, bagi memastikan produk yang dikeluarkan memenuhi konsep Halalan Toyyibah.

“Beberapa pegawai FAMA akan diberi khusus pentauliahan oleh pihak JAKIM, sebelum dapat membantu lebih 6,000 usahawan FAMA mendapat sijil halal.

-- BERNAMA 

 


 

   

 
 
     
   
 

740 membida nombor pendaftaran kenderaan siri ALL setakat petang ini

 
     

Semua sekolah di empat daerah di Perak dibuka esok

 
     

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel