Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut belum siap sepenuhnya - Chow


Tarikh kemaskini: 25/08/2019





GEORGE TOWN, 25 Ogos (Bernama) -- Kajian kebolehlaksanaan bagi projek pembinaan terowong dasar laut masih belum siap sepenuhnya dan dan kajian tersebut kini dalam peringkat 90 peratus penelitian, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Beliau berkata pada masa ini  draf laporan itu masih diperiksa oleh jurutera perunding bebas yang dilantik, HSS Engineers Bhd (Jurutera HSS).

“Setelah segalanya dibereskan di pihak jururunding, barulah ia akan dikemukakan kepada kerajaan negeri bagi kelulusan. Ia merupakan proses timbal balik, setelah mereka (Consortium Zenith Construction Sdn Bhd) kemukakan kepada  HSSI, HSSI akan kaji dan memberi  komen sebelum  menghantar semula kepada Zenith bagi penambahbaikan.

“Ia masih pada tahap 90 peratus, kerajaan negeri sentiasa menerima maklumat yang dikemas kini,"katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2019 yang dirasmikan oleh Toh Puan Majimor Shariff, isteri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas.

Projek terowong sepanjang 7.2km itu yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai itu adalah di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

PTMP ialah projek inisiatif kerajaan negeri dengan kos dianggarkan RM46 bilion, merangkumi terowong dasar laut menghubungkan bahagian pulau ke tanah besar, lebuh raya, LRT, monorel serta rangkaian laluan bas secara menyeluruh di bahagian pulau dan tanah besar.

Sementara itu ketika  diminta mengulas berhubung kenyataan Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook baru-baru ini yang  menyatakan komitmen untuk menaiktaraf sistem perkhidmatan feri Pulau Pinang termasuk pelan memperkenalkan bot jenis Catamaran dimana ia dilihat bakal memberi kesan kepada projek terowong dasar laut, Chow berkata tiada sebarang keputusan dibuat lagi pada masa ini.

"Tiada keputusan lain selain meneruskan kajian kebolehlaksanaan.Tetapi (terowong) bukan keutamaan, keutamaan adalah lebuh raya (dari lebuh raya) dari Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu. Kami berharap dapat memulakannya dalam tempoh dua bulan," katanya.

Dalam perkembangan lain berhubung laporan sebuah akhbar berbahasa Cina berkaitan perbezaan harga kereta unit baru Toyota camry 2.5 CBU  yang dibeli oleh kerajaan Pulau Pinang berbeza dengan Perak, Chow menjelaskan Pulau Pinang tidak mendapat pengecualian cukai.

"Tidak ada pengecualian cukai, jadi kami membelinya dengan harga pasaran, Perak mungkin telah mendapatnya (pengecualian cukai) . Itulah sebabnya perbezaan harga," katanya.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

740 membida nombor pendaftaran kenderaan siri ALL setakat petang ini

 
     

Semua sekolah di empat daerah di Perak dibuka esok

 
     

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel