Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Lapan unit asrama madrasah musnah dalam kebakaran


Tarikh kemaskini: 24/08/2019





KUANTAN, 24 Ogos (Bernama) -- Lapan pondok kayu daripada 64 unit asrama Madrasah Ad-Dinniah Al-Islamiah di Kampung Paya Jauh, Temerloh dekat sini, musnah dalam kebakaran pada 10.25 pagi tadi. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Angin, Hashnuddin Hussin bagaimanapun berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana pondok itu tidak lagi dihuni pelajar. 

"Jarak antara setiap pondok ialah sekitar tiga kaki sahaja menyebabkan kebakaran mudah merebak selain menyukarkan operasi memadam kebakaran. 

"Bomba dimaklumkan kejadian pada 10.28 pagi dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya 50 minit kemudian," katanya semasa dihubungi di sini, hari ini. 

Hashnuddin berkata operasi melibatkan 15 anggota bomba dari Balai Bomba Bukit Angin dan Temerloh, serta dua buah jentera, sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bersama sebuah tangki air berkapasiti 20,000 liter.

Pondok itu buat masa ini, mempunyai 17 pelajar lelaki dengan enam daripadanya pulang bercuti. 

Hashnuddin berkata jumlah kerugian dan punca kebakaran masih disiasat, namun difahamkan pondok tersebut tidak lagi menerima bekalan elektrik kerana sudah lama tidak digunakan. 

Sementara itu, pekerja am syarikat pembersihan Mohammad Farhan Abdul Rahman, 27, yang menghubungi bomba berkata dia terhidu bau asap yang kuat semasa mengutip sampah di kawasan sekitar pondok itu. 

"Bau asap begitu kuat menyebabkan saya cuba mencari punca dan secara tiba-tiba melihat api di salah sebuah pondok. Selang beberapa minit kemudian saya mendengar orang menjerit api," katanya. 

Mohammad Farhan berkata keadaan menjadi kecoh dalam masa singkat, dan beliau terus menghubungi bomba apabila melihat orang ramai melarikan diri dari lokasi kejadian. 

-- BERNAMA 

 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel