Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Peranan KRT sebagai ejen perpaduan masih relevan


Tarikh kemaskini: 24/08/2019





MARANG, 24 Ogos (Bernama) -- Peranan institusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) sebagai ejen perpaduan masyarakat masih relevan dan penting, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Md Farid Md Rafik.

Md Farid berkata tidak dapat dinafikan KRT merupakan sebuah badan yang paling rapat dengan komuniti setempat dan menjadi platform serta suara untuk mereka menyalurkan permasalahan semasa.

"Banyak aktiviti berlandaskan interaksi masyarakat pelbagai kaum telah dijalankan oleh KRT dan ini memberi ruang untuk mereka berkumpul, berinteraksi sekali gus memperkukuh semangat perpaduan di kalangan mereka.

"Oleh itu peranan KRT sebagai ejen perpaduan amat penting terutama dalam dunia tanpa sempadan seperti hari ini yang masyarakat terdedah dengan penyebaran pelbagai khabar angin yang tidak terkawal melalui laman sosial," katanya selepas merasmikan Dewan Komuniti KRT Taman Dato' Ibrahim, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Perpaduan Terengganu, Burhanuddin Daud.

Terdahulu Md Farid yang juga Ahli Parlimen Tanjung Piai turut menyertai aktiviti kayuhan berbasikal, Unity Fun Ride sejauh 20 kilometer bersama lebih 100 anggota masyarakat daerah Marang.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan juga akan menyalurkan peruntukan sebanyak RM16 juta kepada lebih 6,000 KRT di seluruh negara bermula akhir bulan ini bagi membantu mereka menjalankan aktiviti di kawasan masing-masing.

"Kami telah mengagihkan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi fasa satu pada awal tahun ini dan diteruskan pada fasa kedua bermula akhir bulan ini.

"Agihan akan dibuat mengikut tiga kategori iaitu KRT paling aktif, aktif dan sederhana aktif yang setiap kategori akan menerima jumlah peruntukan berbeza," katanya.

Menurut beliau lagi terdapat kira-kira 8,200 KRT di seluruh negara dan 20 peratus daripadanya didapati tidak aktif.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel