Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pegawai wanita akan ditempatkan di 56 DUN Johor


Tarikh kemaskini: 24/08/2019





JOHOR BAHRU, 24 Ogos  – Kerajaan Johor menerusi Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) akan menempatkan seorang pegawai wanita di setiap 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu bagi mengenal pasti dan membantu golongan wanita yang menghadapi masalah rumah tangga.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Liow Cai Tung, berkata penempatan tersebut dijangka dilakukan awal tahun depan dengan pegawai tersebut antaranya memberikan khidmat kaunseling dan informasi khususnya kepada wanita yang sedang di ambang perceraian.

“Pegawai ini akan bekerjasama dengan pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) wanita bagi mencari wanita yang memerlukan bantuan sebelum merujuk mereka ke jabatan atau agensi berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kesedaran: Hak Anda Dalam Perundangan Syariah, anjuran Gabungan NGO Wanita Johor, di sini, hari ini.

Seminar disampaikan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Johor, Yunos Ismail dan Pakar Psikologi, Akilah Kamaruddin berkenaan dihadiri 300 peserta rata-ratanya wanita golongan B40.

Liow berkata kerajaan Johor dengan kerjasama NGO dalam pada itu sentiasa menyeru para wanita terutamanya yang mengalami keganasan rumah tangga supaya tidak takut dan malu dalam mendapatkan nasihat, kaunseling serta bantuan guaman supaya hak mereka terbela.

Sementara itu, Yunos berkata kewangan merupakan salah satu faktor wanita khususnya golongan B40 takut untuk mendapatkan nasihat guaman sekali gus menyebabkan mereka terus ditindas dan tidak mendapatkan pembelaan sewajarnya dalam menghadapi masalah rumah tangga.

“Ada wanita yang takut untuk berjumpa peguam kerana merasakan tidak cukup duit. Jadi, seminar secara percuma ini merupakan medan terbaik untuk wanita untuk mendapatkan ilmu berkaitan,” katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel