Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

MAIK taja lima pelajar cemerlang sambung pengajian ke luar negara


Tarikh kemaskini: 24/08/2019





KOTA BHARU, 24 Ogos -- Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menaja lima pelajar cemerlang untuk melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang di luar negara.

Yang Dipertua MAIK, Tengku Temenggong Kelantan Tengku Tan Sri Datuk Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata pelajar tajaan yang terpilih itu merupakan mereka yang memperoleh semua A dalam peperiksaan setara A-level.

“Program ini selaras dengan misi MAIK untuk memberi sumbangan bagi meningkatkan taraf sosio-ekonomi umat Islam sekaligus dapat menjadi inspirasi kepada para pelajar dan remaja di luar sana untuk sama-sama berjaya.

“Saya dimaklumkan MAIK telah memperuntukkan hampir mencecah RM1.6 juta di bawah program ini bagi setiap pelajar untuk tempoh empat hingga lima tahun pengajian,” katanya ketika berucap di Majlis Kurniaan Biasiswa Pengajian Luar Negara MAIK 2019 di sini, hari ini. 

Hadir sama Timbalan Yang Dipertua MAIK Zulkifle Abd Rahman dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan MAIK Prof Datuk Ir Dr Zainai Mohamed.

Kesemua pelajar yang terpilih adalah pelajar lepasan A-level Kolej Yayasan UEM, Selangor dan mereka akan melanjutkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda di University of Manchester, Royal College of Surgeons in Ireland dan Trinity College of Dublin dalam bidang perubatan dan bio-perubatan tidak lama lagi. 

Seorang pelajar tajaan MAIK, Nur Asyiqin Ibrahim,20, yang menerima tajaan ke Royal College of Surgeons in Ireland berkata beliau berterima kasih kepada MAIK atas tajaan biasiswa yang diberikan. 

Anak bongsu daripada empat beradik itu berkata tanpa bantuan itu mustahil baginya untuk mencapai cita-citanya menjadi seorang doktor yang menjadi impiannya sejak di bangku sekolah lagi.

“Memandangkan ibu dan ayah hanya pesara, mereka tidak mampu untuk menampung kos perbelanjaan pengajian ke luar negara namun saya bersyukur apabila terpilih salah seorang penerima biasiswa yang ditanggung sepenuhnya oleh MAIK,” katanya. 

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel