Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Infrastruktur asas luar bandar efisien, terbaik menjelang 2025 - Rina


Tarikh kemaskini: 24/08/2019





KOTA KINABALU, 24 Ogos  -- Kementerian Pembangunan Luar Bandar akan memastikan kira-kira 95 peratus penduduk luar bandar khususnya di Sabah dapat menikmati kemudahan infrastruktur asas seperti jalan raya berturap, bekalan elektrik dan air yang terbaik serta efisien menjelang 2025.

Menterinya Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata sasaran itu seiring dengan Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030 yang antara lain bertujuan mencapai visi mensejahterakan penduduk luar bandar dalam tempoh sepuluh tahun merangkumi aspek pembangunan modal insan, sosial dan ekonomi.

Pembangunan infrastruktur berkenaan perlu terus diperkasakan memandangkan masih terdapat kawasan luar bandar khususnya di pedalaman agak ketinggalan dalam menikmati kemudahan asas berkualiti selain ia juga penting bagi menyokong usahawan desa mengembangkan lagi potensi produk mereka ke pasaran lebih luas, katanya.

"Kita (kementerian) mengakui, dalam usaha meningkatkan bidang keusahawanan penduduk luar bandar, kemudahan infrastruktur perlu ada. Oleh sebab itu, dalam Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030, kita menyasarkan pada 2025, kemudahan asas ini boleh dinikmati oleh 95 peratus penduduk di luar bandar.

"Kita akan berusaha menarik pelabur ke luar bandar bagi mewujudkan peluang pekerjaan sekali gus memacu pembangunan di kawasan tersebut. Capaian internet juga akan terus diperkasakan supaya usahawan desa boleh berniaga dalam talian.

"Kementerian turut mempunyai 191 Pusat Komuniti Desa di seluruh negara dan peranan serta program pusat ini akan dipertingkatkan supaya ia boleh menjadi hab kepada penduduk kampung menghantar produk mereka untuk dipasarkan ke luar," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Karnival Usahawan Desa (KUD) Zon Sabah di sini, hari ini.

Majlis yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal itu turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri Datuk Wilfred Madius Tangau yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah serta Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Ewon Benedick.

Rina berkata, kerajaan Persekutuan telah membelanjakan RM200,571,938 bagi projek prasarana luar bandar di Sabah meliputi jalan luar bandar, jalan perhubungan desa, bekalan air, elektrik dan program ameniti sosial setakat 31 Julai lepas.

Ia merupakan sebahagian daripada RM1.14 bilion peruntukan disediakan untuk membangunkan kemudahaan infrastruktur berkenaan di Sabah pada tahun ini, katanya.

Mengenai KUD, Rina berkata, ia kali pertama diadakan mengikut zon bagi menarik lebih ramai usahawan desa mempromosi serta memasarkan produk mereka secara terus kepada pengguna.

Beliau berkata Sabah yang merupakan lokasi ketiga penganjuran KUD itu telah menarik penyertaan seramai 350 usahawan desa dengan 79 peratus daripadanya adalah usahawan wanita dan sebanyak RM3 juta hasil jualan disasarkan sepanjang empat hari karnival berkenaan berlangsung sehingga esok.

"Tiga KUD telah dilaksanakan, masing-masing di Pulau Pinang, Terengganu dan pada kali ini Sabah. Penyertaan bagi ketiga-tiga KUD ini amat memberangsangkan dengan lebih 1,000 usahawan desa direkodkan menyertai karnival ini," katanya, dan menambah, kemuncak KUD berlangsung di Putrajaya pada Oktober ini dengan menyasarkan penyertaan seramai 5,000 usahawan desa.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

LZS akan terus beri kerjasama kepada SPRM dalam siasatan libatkan dana LZS dan RTM

 
     

APM NS sedia hadapi sebarang kemungkinan bencana

 
     

Dr Mahathir, isteri cetus keterujaan di Pantai Chenang

 
     

Anwar setuju tindakan polis tahan individu dikaitkan dengan keganasan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel