rwDptcA4dFg Insiden Nora Anne tidak jejas kunjungan pelancong ke Malaysia - Mohamaddin
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Insiden Nora Anne tidak jejas kunjungan pelancong ke Malaysia - Mohamaddin


Tarikh kemaskini: 24/08/2019





ALOR SETAR, 24 Ogos  -- Insiden yang menimpa remaja Ireland, Nora Anne Quoirin pada 13 Ogos lepas diyakini tidak akan menjejaskan jumlah kunjungan pelancong ke negara ini menjelang kempen Tahun Melawat Malaysia 2020. 

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi berkata pihaknya sedih dan bersimpati dengan kejadian itu, namun pihak lain tidak boleh sewenang-wenangnya mengatakan bahawa Malaysia tidak selamat untuk dikunjungi pelancong.

“Kalau ada yang kata Malaysia tidak selamat, kita mahu tahu apa sebabnya. Contohnya, baru-baru ini ada pelancong dari Yemen yang maut selepas jatuh dari jet ski ketika cuba berswafoto, tapi perkara itu berlaku atas kecuaian diri sendiri.

“Insiden-insiden seperti itu boleh berlaku di mana-mana negara jadi ia tidak menjadi isu yang terlalu besar yang boleh membimbangkan pelancong untuk datang ke Malaysia,” katanya ketika diminta mengulas sama ada kemasukan pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 akan terjejas ekoran tragedi yang menimpa Nora Anne.

Kematian remaja berusia 15 tahun itu disahkan polis pada 15 Ogos adalah akibat kebocoran usus kerana tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan yang berpanjangan, selepas dia dilaporkan hilang selama 10 hari sejak 4 Ogos lalu.

Terdahulu, Mohamaddin yang hadir merasmikan pembukaan semula Kompleks Rumah Kelahiran Mahathir Mohamad (KRKMM) di Lorong Kilang Ais, di sini berkata kementeriannya akan cuba membantu kerajaan negeri Kedah untuk menjadikan KRKMM sebagai satu destinasi daya tarikan pelancongan warisan.

“Rumah ini mempunyai sejarah tersendiri kerana di sini lahirnya seorang pemimpin negara Tun Dr Mahathir Mohamad. Kewujudan KRKMM ini membolehkan pengunjung mengenal dan mengetahui dengan lebih mendalam tentang kehidupan seorang pemimpin yang bernama Dr Mahathir.

“Kementerian sentiasa memastikan khazanah warisan negara dipulihara dan dipelihara sebab itu KRKMM ini telah dibaik pulih sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 1992, 2000 dan naik taraf ketiga mengambil masa selama setahun bermula Ogos 2017 hingga Okt 2018 dengan kos berjumlah RM1.8 juta,” katanya.

Mohamaddin berkata dari tahun 2013 hingga 2017, seramai 396,2013 pengunjung dari dalam dan luar negara telah melawat KRKMM dan berharap jumlah itu akan meningkat selepas pembukaan semula kompleks itu dan bersempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

“Banyak bahan pameran yang terdiri daripada artifak dan gambar mengenai Dr Mahathir boleh dilihat.  Selain KRKMM, beberapa bangunan tambahan yang melambangkan rumah tradisional Melayu yang dikenali sebagai ‘Rumah Bujang’, ‘Rumah Bumbung Lima’ dan ‘Rumah Bumbung Panjang’ turut dibina di kawasan kompleks ini,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pengarah Arkib Negara Datuk Azemi Abdul Aziz dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya dan Pembangunan Keusahawanan negeri Mohd Asmirul Anuar Aris yang mewakili Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Kes Letupan CityOne Megamall : Bicara pengarah mulai 28 Jan

 
     

SPR terpaksa guna pakai persempadanan semula tahun lepas

 
     

Pemanis sokong saranan Anwar Ibrahim semua majlis anjuran kerajaan wajib guna Bahasa Melayu

 
     

Ibu negara Indonesia di Kalimantan: Sarawak, Sabah terima tempias positif

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel