Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Konvoi lebih 300 motosikal kibar Jalur Gemilang di Kubang Pasu


Tarikh kemaskini: 24/08/2019





JITRA, 24 Ogos (Bernama) -- Lebih 300 peserta bermotosikal hari ini berhimpun dan menjelajah ke seluruh kawasan Parlimen Kubang Pasu bagi mengajak masyarakat setempat mengibarkan Jalur Gemilang dan menyemarakkan semangat cintakan negara sempena sambutan Bulan Kebangsaan.

Menerusi Program Konvoi Jelajah Merdeka Parlimen Kubang Pasu itu, kesemua peserta menaiki motosikal yang dihiasai dan dipasang bendera negara menyusuri perjalanan sejauh 126 kilometer bermula di Dataran Darul Aman dan akan berakhir di Pusat Komuniti Desa Napoh, di sini.

Pengarah program itu, Shafizan Taib berkata peserta yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan kaum berkonvoi melalui laluan membabitkan lebih 50 buah kampung dan bersama-sama mempamerkan semangat patriotik.

“Kita nak ajak orang ramai turut sama kibarkan Jalur Gemilang di rumah mereka dan dalam kawasan komuniti untuk menanam dan menyemai semangat kebangsaan dalam diri terutama generasi muda,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika ditemui pada majlis pelepasan konvoi itu oleh Timbalan Menteri Kewangan merangkap Ahli Parlimen Kubang Pasu Datuk Amiruddin Hamzah, di sini hari ini.

Shafizan berkata, selain bertujuan menyemarakkan semangat sempena sambutan Bulan Kebangsaan, program itu juga bagi menunjukkan perpaduan masyarakat di negara ini walaupun terdapat isu-isu kecil yang cuba dimainkan segelintir pihak untuk memecahbelahkan perpaduan.

Dalam pada itu, ditanya mengenai tindakan segelintir pihak yang cuba memainkan isu-isu sensitif dan menimbulkan ketegangan, Amiruddin berkata sebarang kenyataan yang mengapi-apikan hubungan kaum di negara ini hanya akan merencatkan usaha kerajaan membawa negara ke hadapan.

Tanpa merujuk kepada mana-mana pihak atau mengaitkan dengan isu tertentu, beliau mengingatkan rakyat supaya tidak terpedaya dengan taktik pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menarik perhatian dan menimbulkan kegelisahan dalam kalangan masyarakat.

“Kalau pihak-pihak yang memainkan isu-isu sensitif ini berasa diri mereka bertanggungjawab, ada caranya untuk meluahkan ketidakpuasan hati, kita duduk semeja dan berbincang, ada salurannya kerana sebelum ini pun ada isu-isu besar yang kita dapat selesaikan,” katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

APM NS sedia hadapi sebarang kemungkinan bencana

 
     

Dr Mahathir, isteri cetus keterujaan di Pantai Chenang

 
     

Anwar setuju tindakan polis tahan individu dikaitkan dengan keganasan

 
     

Ibu mati, anak OKU dijumpai dahaga lapar dalam rumah di Skudai

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel