Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Nama Koh Chee Wan 'tenggelam', lebih dikenali dengan nama Awang


Tarikh kemaskini: 23/08/2019





KUANTAN, 23 Ogos -- Jika nama Koh Chee Wan ditanya kepada penduduk sekitar Kampung Pantai Beserah disini, pastinya ramai yang tidak pernah dengar nama itu, namun jika ditanya individu bernama 'Awang', pasti penduduk tempatan boleh memandu arah ke sebuah rumah yang dihuni seorang warga emas di situ, memang Koh Chee Wan orangnya.

Koh, 65, mengakui tidak ramai yang mengetahui nama sebenarnya kerana beliau telah menggunakan nama Awang sejak kecil sehingga menyebabkan nama asalnya 'tenggelam'. 

"Saya sendiri selesa dipanggil Awang dan untuk generasi muda di sini, saya gelarkan diri sebagai Pak Awang. Nama sebenar saya hanya digunakan untuk urusan rasmi. 

"Tiga anak saya juga sudah biasa mendengar bapa mereka dipanggil dengan nama Melayu," katanya kepada Bernama semasa ditemui semasa sedang minum bersama rakan-rakannya di kampung itu di sini, hari ini. 

Koh mengakui selesa dengan kehidupan di kampung itu, sehingga memilih untuk kekal di situ walaupun tinggal berseorangan selepas kematian isteri 14 tahun lalu. 

Koh kini menguruskan bot menangkap ikan milik mendiang bapanya secara sambilan, selepas berhenti sebagai juruteknik mengakui 'tidak bimbang' kerana dikelilingi jiran yang boleh dianggap sebagai keluarga. 

Katanya, pada awalnya, anak-anaknya kerap memujuk beliau berpindah ke Kuala Lumpur dan bandar Kuantan, namun akhirnya mengalah dengan 'kedegilannya' selain melihat keakrabannya dengan penduduk Melayu di situ. 

"Bagi saya tiada beza saya dengan penduduk di sini. Kami semua orang Kuantan, rakyat Malaysia. Kami membesar bersama-sama, malah sering mandi sungai dan bermain panas semasa kecil. 

"Sampai sekarang pun, jika ada kenduri di kampung ini, surat jemputan pasti sampai ke rumah saya. Jika ada kematian, saya juga akan meluangkan masa untuk menziarah," katanya. 

Berkongsi 'petua' beliau hidup harmoni di situ, Koh berkata sikap yang perlu dielakkan bagi menjaga keharmonian kaum adalah 'sombong dan berasa diri lebih tinggi' daripada orang lain. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel