Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

ADUN Perak perlu lengkapkan borang isytihar harta sebelum 23 Okt


Tarikh kemaskini: 23/08/2019





IPOH, 23 Ogos (Bernama) -- Kesemua 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Perak mempunyai tempoh selama tiga bulan untuk melengkapkan maklumat pada borang pengisytiharan harta masing-masing sebelum diserahkan selewat-lewatnya pada 23 Oktober ini.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Datuk Ngeh Koo Ham berkata borang pengisytiharan harta kesemua ADUN, sama ada pihak kerajaan dan pembangkang perlu dihantar sebanyak dua salinan kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan beliau sendiri untuk tindakan selanjutnya.

"Akuan berkanun borang pengisytiharan harta Adun telah dihantar secara pos laju pada Rabu (21 Ogos) lepas untuk dilengkapkan oleh ADUN sebelum atau pada 23 Oktober iaitu dalam tempoh tiga bulan dari tarikh usul diluluskan pada 23 Julai lepas," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata taklimat pengisytiharan harta akan diadakan di Hotel Casuarina, Meru di sini pada 28 Ogos ini bagi memberi penerangan untuk mengisi borang pengisytiharan harta tersebut.

"Saya memohon kerjasama semua ADUN untuk mengemukakan maklumat pengisytiharan harta kerana ini merupakan satu cara memastikan wakil rakyat telus dan tidak terlibat dalam apa-apa jenis rasuah," katanya.

Sementara itu, Ngeh berkata mana-mana Adun yang enggan mengisytiharkan harta akan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Perak sama ada dikenakan tindakan disiplin atau berbentuk hukuman.

"Kita ada peraturan penguatkuasaan tentang keputusan DUN termasuk (wakil rakyat) akan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana apabila sesuatu usul telah diluluskan di peringkat DUN, ia tidak boleh diperlekehkan atau diabaikan," katanya.

Pada 23 Julai lepas, DUN Perak mencatat sejarah apabila menjadi yang pertama di negara ini mewajibkan semua 59 ADUN mengisytiharkan harta mereka dan ahli keluarga terdekat iaitu suami, isteri atau anak dalam akuan berkanun.

Usul itu yang dibawa oleh Adun Pasir Berdamar, V. Raja Terrance Naidu pada Mesyuarat Kedua, Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri ke-14 diluluskan selepas mendapat sokongan Adun.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel