Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kejayaan sesuatu penyampaian diukur kepuasan pelanggan - Aminuddin


Tarikh kemaskini: 23/08/2019





SEREMBAN, 23 Ogos -- Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata bagi mengukur kejayaan sesuatu penyampaian, kepuasan hati pelanggan amatlah penting kerana ia menunjukkan peningkatan penyampaian perkhidmatan yang telah diberikan.

Katanya sekiranya pelanggan berpuas hati, warga kerja akan berasa gembira dan ini sekali gus akan mengurangkan aduan dan ketidakpuasan atas perkhidmatan kerajaan.

"Fokus penyampaian kepada rakyat bukan sekadar hanya memberi maklumat atau dari segi fizikal, tetapi kita juga perlu pastikan ia mempunya nilai tambah kepada rakyat dan segala projek yang telah dirancang itu sampai kepada rakyat.     

“Oleh itu, kita semua (penjawat awam persekutuan) harus sentiasa fokus dan berusaha meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada golongan sasar," katanya pada program Sambutan Merdeka@Komuniti Penjawat Awam Persekutuan Negeri Sembilan di Wisma Persekutuan di sini, hari ini.

Katanya dalam hubungan ini, bukan sahaja kuantiti kerja perlu dilaksanakan dengan sebaiknya, malahan yang lebih utama adalah mutu dan kualiti kerja sentiasa dipertingkatkan ke atas setiap pelaksanaan tugas yang telah dipertanggungjawabkan.

Katanya budaya keberhasilan penting bagi meningkatkan mutu dan kualiti kerja yang bersandarkan kepada Petunjuk  Prestasi Utama (KPI) dalam menghasilkan prestasi kerja yang unggul dan cemerlang.

Mengenai sambutan Hari Kebangsaan 2019, Aminuddin berkata pelbagai program telah dirancang bertujuan untuk memupuk semangat patriotisme dan menyemarakkan lagi sambutan kemerdekaan di negeri ini.

"Seperti yang kita sedia maklum, setiap tahun pada bulan Ogos telah diisytiharkan sebagai Bulan Kebangsaan dan tahun ini genap 62 tahun kita meraikan kemerdekaan daripada cengkaman penjajah. Sebagai rakyat yang cintakan tanah air, saya mengambil kesempatan ini menyeru agar kita dapat sama-sama menjayakan Kempen Bulan Kebangsaan ini.

"Kibarkanlah Jalur Gemilang di bangunan pejabat anda dan jangan biarkan bendera yang berkibar itu lusuh atau koyak. Jalur Gemilang merupakan simbol kedaulatan negara dan perlu dikibarkan dengan cara yang betul agar tidak menjejaskan imej negara terutama pada pandangan pelancong asing," katanya.

Katanya bagi generasi muda yang bakal mewarisi kepimpinan pada masa akan datang, haruslah berusaha gigih dalam mempertahankan kemerdekaan negara dari terus dibelenggu fitnah serta hasutan daripada pelbagai sudut terutama sekali melalui media sosial.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     

Semua sekolah di Putrajaya dibuka esok

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel