Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pasangan suami isteri 21 tahun tidak putus terima tempahan baju sempena Hari Kemerdekaan


Tarikh kemaskini: 22/08/2019





PONTIAN, 22 Ogos -- Menerima tempahan baju sehingga ‘tidak menang tangan’ setiap kali menjelang tiba bulan kemerdekaan bukanlah perkara luarbiasa buat satu pasangan suami isteri kelahiran daerah ini, sejak mereka memulakan perniagaan itu kira-kira 21 tahun yang lepas.

Lebih menarik lagi, anak bongsu mereka lahir pada 31 Ogos, 17 tahun yang lepas, semasa kedua-dua mereka bertungkus lumus menyiapkan tempahan menjelang ketibaan sambutan sempena memperingati Hari Kemerdekaan negara.

Sih Huay Heng, 40-an, berkata dia mempunyai ramai pelanggan tetap, malah turut menerima tempahan daripada seluruh negara termasuk dari pelanggan di Sabah dan Sarawak.

Ketika ditemu bual Bernama di kedainya yang terletak di Taman Jaya, Jalan Alsagoff dekat sini, hari ini, Sih yang mesra dan peramah itu, tidak putus-putus menerima kunjungan pelanggannya yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Sih berkata dia bersama isterinya Tan Lay Tin, 42, dengan bantuan lebih 12 pekerja tukang jahit menghasilkan pelbagai reka bentuk pakaian bermotifkan Jalur Gemilang termasuk t-shirt, topi, selempang, vest, apron dan pelbagai lagi untuk dewasa sehingga bayi.

Sih berkata kebanyakan tempahannya sepanjang bulan kemerdekaan adalah daripada pihak sekolah, jabatan kerajaan serta swasta dan reka bentuk baju adalah daripada idea sendiri selain turut mengikut permintaan pelanggan.

Sementara itu, Tan yang dilihat sering bergurau senda bersama pekerjanya yang pelbagai bangsa itu turut tidak mahu ketinggalan untuk bebual mesra dengan wartawan dari Bernama, mencerikatan kisah pada tahun 2002, semasa beliau yang sarat mengandung anak bongsu masih bekerja keras membantu suaminya menyiapkan tempahan bulan kemerdekaan mengikut perancangan.

“Saya dinasihatkan doktor untuk masuk wad dua minggu sebelum tarikh jangkaan bersalin iaitu 30 Ogos, tetapi saya cakap tidak mahu kerana banyak lagi tempahan belum siap.

“Doktor terkejut dan bagi amaran, tetapi saya rasa biasa dan tidak sakit-sakit seperti bersalin dan sempat usap perut  bercakap dengan anak supaya bertahan sekejap. Sampailah pada 30 Ogos saya dimasukkan ke wad dan anak saya lahir keesokan harinya,” katanya sambil tersenyum ketika mengimbau kenangan manis itu.

Tan berkata perniagaannya itu semakin maju kerana berkat bantuan dan sokongan orang ramai dan beliau menyifatkan bulan kemerdekaan sebagai bulan yang menyatukan rakyat pelbagai kaum.

Salah seorang pelanggan tetapnya Sulaiman Kimin, 66, yang ditemui semasa sedang mengambil tempahan baju kemerdekaan buat cucunya, Muhammad Amar Adli Azizi berusia lima tahun berkata , pasangan suami isteri itu sentiasa disenangi oleh orang ramai.

“Heng dan dan Tin (nama panggilan) memang baik, saya kenal sudah lama. Harga tempahan baju boleh runding dan kualiti baju dia memang terbaik.

“Tahun ini tergerak hati beli baju merdeka untuk cucu, saya harap dia suka kerana ini juga kejutan buatnya, Sih bijak jual baju untuk kanak-kanak,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kepelbagaian masyarakat seharusnya jadi kekuatan negara - MB Pahang

 
     

Kepelbagaian kaum dan budaya di Sarawak lambang perpaduan rakyat

 
     

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel