Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Langkawi siapsiaga tarik pelancong dari Phuket


Tarikh kemaskini: 22/08/2019





LANGKAWI, 22 Ogos -- Pertubuhan Industri Pelancongan Langkawi telah bersedia untuk 'menawan hati' delegasi agensi pelancongan dan media dari Phuket dengan pelbagai tarikan bagi memastikan kempen promosi memperkenalkan produk dan perkhidmatan serta hotel penginapan yang ditawarkan anggota pertubuhan itu berjaya.

Presiden Pertubuhan Industri Pelancongan Langkawi, Ahmad Phisol Ishak berkata dalam tempoh tiga hari promosi bermula 2 hingga 4 September hadapan, agensi pelancongan dan media yang dibawa khas itu akan melawat lokasi tarikan pelancong di pulau ini serta menghadiri sesi perniagaan ke perniagaan (B2B).

"Dalam tempoh itu, 15 anggota delegasi agensi pelancongan dan media dari Phuket akan dibawa ke kawasan tarikan seperti Langkawi SkyCab, Crocodile Adventureland Langkawi, Langkawi Wildlife Park, Makam Mahsuri, Dataran Lang, menyaksikan pertunjukan kebudayaan 'Malaysia Truly Asia' dan menaiki 'Sunset Cruise'. Kita nak mereka merasai sendiri pengalaman supaya mudah apabila pulang untuk menjual pakej-pakej menarik di Langkawi.

"Delegasi itu juga akan menghadiri sesi perniagaan ke perniagaan (B2B) bersama 25 anggota pertubuhan ini yang terdiri daripada ejen pelancongan, hotel penginapan dan operator produk. Di akhir sesi itu, kita akan kaji bagi menetapkan pakej-pakej buat kedua-dua destinasi Langkawi-Phuket dan Phuket-Langkawi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat bersama Pengurus Kawasan Utara dan Tengah Malaysia Malindo Air, Arasu Soundarajan dan Ketua Komunikasi dan Promosi Malindo Air (Asia Selatan), Suresh Vanan serta anggota pertubuhan itu di Aseania Resort Langkawi, di sini hari ini.

Ahmad Phisol berkata persiapan berjalan lancar dan pihaknya mendapat kerjasama baik dari syarikat penerbangan Malindo Air dan Lembaga Pembangunan Langkawi.

Sebagai rekod, Malindo Air menawarkan penerbangan bagi sektor Phuket-Langkawi-Phuket pada setiap Isnin, Rabu, Jumaat sejak Mac lepas.

Sementara itu, Pengurus Tourism Malaysia Langkawi, Ahmad Junaidy Yahaya berkata pihaknya menyokong penuh kempen promosi itu dan menyifatkan sektor Phuket-Langkawi-Phuket sebagai laluan baharu yang dapat meningkatkan jumlah kedatangan pelancong ke pulau ini.

"Memang kita menyokong penuh usaha yang dilakukan oleh Pertubuhan Industri Pelancongan Langkawi bersama Malindo Air ini kerana laluan ini diyakini dapat membantu meningkatkan jumlah kemasukan pelancong ke Langkawi. 

"Malahan ini satu peluang baik berikutan kemudahan visa semasa ketibaan (VOA) diberikan kepada pelancong China dan India yang memasuki Malaysia melalui negara ketiga termasuk Thailand selain tiga lagi negara iaitu Brunei, Indonesia dan Singapura,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kes Letupan CityOne Megamall : Bicara pengarah mulai 28 Jan

 
     

SPR terpaksa guna pakai persempadanan semula tahun lepas

 
     

Pemanis sokong saranan Anwar Ibrahim semua majlis anjuran kerajaan wajib guna Bahasa Melayu

 
     

Ibu negara Indonesia di Kalimantan: Sarawak, Sabah terima tempias positif

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel