Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Dua pasang kekasih geng samun kenderaan, rumah ditahan


Tarikh kemaskini: 22/08/2019





KEPALA BATAS, 22 Ogos (Bernama) -- Dua pasang kekasih yang disyaki anggota kumpulan samun kenderaan dan pecah rumah dikenali Geng Satria yang aktif di sekitar Pulau Pinang dan Kedah sejak tahun lepas, diberkas Khamis lepas, kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor.

Katanya keempat-empat individu yang berumur antara 20 dan 29 tahun itu ditangkap semasa serbuan ke sebuah rumah pangsa di Taman Merbau Indah, Butterworth dekat sini kira-kira pukul 1 tengah hari, yang turut membawa kepada penemuan dua buah kereta  dipercayai dicuri.

“Kereta jenis Proton Satria dan Perodua Kelisa ini dipasangkan dengan nombor pendaftaraan palsu dan dipercayai digunakan sebagai kenderaan mereka untuk menjalankan kegiatan jenayah," katanya di sini hari ini.

Menurutnya pelbagai barangan termasuk komputer riba, televisyen, peralatan elektrik, sejumlah anak kunci dan kad bank yang keseluruhannya bernilai lebih RM50,000 dipercayai hasil curi geng itu turut dirampas, selain peralatan disyaki untuk pecah rumah seperti spanar, pemutar skru, tukul besi dan pemotong besi.

Beliau berkata siasatan mendapati geng itu terlibat dalam puluhan kes samun, curi kenderaan dan pecah rumah, termasuk memecah masuk beberapa taska di sekitar daerah SPU, Seberang Perai Tengah di Pulau Pinang serta Kulim dan Sungai Petani di Kedah.

Noorzainy berkata siasatan mendapati ketua geng itu yang merupakan lelaki berusia 29 tahun berkenaan mempunyai 13 rekod lampau serta dikehendaki polis berkaitan kes pecah rumah di Kubang Semang, dekat sini manakala dua lagi ahli kumpulan tersebut masing-masing mempunyai satu dan dua kes lampau.

Menurutnya kesemua suspek didapati positif mengambil dadah serta tidak bekerja dan kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Dalam kes berasingan, polis berjaya menahan dua orang lelaki selepas mereka memecah masuk sebuah kedai perkakasan di Bagan Ajam dekat sini kira-kira pukul 5.10 pagi Selasa lepas. Seorang lagi rakan sejenayah mereka bagaimanapun berjaya meloloskan diri.

Siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki ini mempunyai pelbagai rekod lampau dan positif mengambil dadah, selain turut terlibat dalam beberapa kes kecurian sarang burung walit yang dilaporkan di sekitar daerah SPU.

"Mereka kini direman selama empat hari dan polis kini giat mengesan suspek ketiga yang dikenali sebagai Mat Cabai berumur lingkungan 30-an yang sempat melarikan diri menggunakan sebuah kereta jenis Perodua Viva berwarna putih,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel