Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tudung bawal diolah jadi tanjak Merdeka


Tarikh kemaskini: 22/08/2019




KOTA BHARU, 22 Ogos -- Tidak mahu ketinggalan dalam menzahirkan rasa kecintaan terhadap negara, seorang anak kelahiran Kampung Banggol Nangka, Pasir Mas mempertaruhkan elemen corak Jalur Gemilang dalam menghasilkan tanjak Mahkota Alam.

Mohd Ridzuan Hassan, 37, berkata pada tahun ini beliau mendapat idea untuk menghasilkan tanjak bermotifkan Jalur Gemilang yang direka dan dijahit sendiri olehnya.

Beliau berkata idea tersebut tercetus selepas melihat tudung bawal bercorak Jalur Gemilang yang kian mendapat sambutan dan permintaan tinggi di pasaran terutama menjelang sambutan Hari Kebangsaan.

“Bagi menghasilkan tanjak ini saya menggunakan tudung bawal yang bercorak Jalur Gemilang yang dijual di pasaran dan mengolahnya untuk menjadi tanjak,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini. 

Pelukis pelan yang kini bermastautin di Kuala Lumpur itu berkata beliau mula mempromosikan tanjak tersebut di laman sosial Facebook pada awal Ogos dan sehingga kini sudah menerima 20 tempahan tanjak bermotifkan Jalur Gemilang untuk disiapkan sebelum penghujung bulan ini.

“Saya gembira dengan sambutan positif yang diberikan pelanggan mengenai jahitan tanjak yang dihasilkan sekali gus membuktikan semangat kenegaraan dalam kalangan masyarakat masih tinggi,” katanya. 

Mengulas lanjut, Mohd Ridzuan berkata beliau mula membuat tanjak pada 2014 sekadar suka-suka untuk dipakai oleh adik-beradik lelakinya sempena Aidilfitri namun tidak menyangka ada yang berminat untuk membelinya.

“Pada 2016, saya mula serius dalam menghasilkan tanjak dengan menuntut ilmu daripada seorang guru yang pakar dalam pembuatan tanjak. Malah sehingga kini saya masih mempelajarinya bagi meningkatkan kemahiran dalam pembuatan tanjak.

“Untuk mengelakkan ilmu yang dituntut dilupakan begitu sahaja, saya mengambil insiatif untuk praktikkan dan jadikan ia sebagai jualan bagi menambah pendapatan yang ada,” katanya.

Katanya terdapat banyak jenis tanjak yang dipakai oleh masyarakat terutama pada zaman Kesultanan Melayu Melaka dahulu dan setakat ini beliau mampu menghasilkan 50 jenis tanjak.

“Ada lima tahap berbeza dalam pembuatan tanjak dan tanjak Mahkota Alam ini merupakan tahap pertama dalam pembelajaran pembuatan hiasan kepala ini.

“Saya membuat tanjak Mahkota Alam kerana ia merupakan antara tanjak paling lasak dan bentuknya sukar berubah selain ia tidak terlalu tinggi dan rendah,” katanya.

Beliau berkata tanjak Mahkota Alam merupakan kesinambungan daripada Kesultanan Melayu Melaka ke Perak dan sering dipakai oleh rakyat biasa.

“Bagaimanapun tanjak Dendam Tak Sudah tidak boleh dipakai sewenang-wenangnya kerana ia khusus untuk Yang di-Pertuan Agong sahaja manakala sultan dan raja bagi setiap negeri sering mengenakan tanjak yang berbeza seperti Kacang Dua Helai Daun dan Sarang Kerengga,” katanya.

Bapa kepada tiga anak ini berkata beliau mampu menghasilkan satu hingga dua tanjak sehari yang dijual bermula harga RM80 dan boleh mencecah sehingga RM250 bergantung kepada material dan permintaan pelanggan.

“Saya mengambil masa tiga jam untuk menyiapkan satu tanjak dan memerlukan kira-kira 30 hingga 34 inci kain bergantung kepada saiz kepala si pemakai.

“Tempahan turut diterima daripada pelanggan luar Kelantan termasuk Pahang, Johor dan Perak,” katanya.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel