Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kesedaran penuaan perlu diterapkan dari awal -- Raja Muda Perlis


Tarikh kemaskini: 21/08/2019





GEORGE TOWN, 21 Ogos  -- Kesedaran mengenai penuaan perlu diterapkan dari peringkat awal dalam kalangan masyarakat sebagai persediaan menghadapi usia tua terutamanya dari segi emosi, kewangan dan persekitaran, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Titah baginda, perkara itu penting bagi mewujudkan warga emas yang lebih berdikari, bersemangat, berlapang dada, disegani dan dihormati oleh masyarakat serta generasi muda.

"Saya amat berharap agar kita dapat meningkatkan kefahaman dan kesedaran serta mewujudkan warga emas yang lebih berdikari dan bersemangat dengan mengoptimumkan potensi diri mereka melalui proses penuaan yang sihat, positif, aktif, produktif di samping meningkatkan kesejahteraan hidup mereka," titah baginda.

Raja Muda Perlis bertitah demikian ketika mengadakan lawatan ke Rumah Orang Tua Jubli Perak di Sungai Dua, dekat sini hari ini.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Turut hadir Ketua Menteri Chow Kon Yeow dan isteri Tan Lean Kee, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri Phee Boon Poh dan Pengerusi Rumah Orang Tua Jubli Perak Loh Yeow Boo.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah warga emas adalah golongan yang penuh dengan pengalaman dan mempunyai kepakaran serta kemahiran yang selama ini banyak berjasa dan memberikan sumbangan, nasihat dan bimbingan kepada masyarakat.

"Malah ada juga warga emas yang masih secara terus menyumbang bakti kepada keluarga, masyarakat, agama, bangsa dan negara," titah baginda.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin turut berharap masyarakat dapat membudayakan amalan masyarakat penyayang, prihatin, sikap saling membantu, sukarelawan dan menerapkan nilai-nilai murni dalam kalangan seluruh lapisan rakyat tanpa mengira latar belakang, bangsa mahupun agama.

Pada majlis itu, baginda turut berkenan menyerahkan sumbangan RM3,000 tajaan daripada Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) kepada Rumah Orang Tua Jubli Perak.

Rumah Orang Tua Jubli Perak yang memasuki 84 tahun penubuhannya kini mempunyai seramai 157 orang penghuni berusia antara 60 hingga 93 tahun yang terdiri daripada golongan warga emas yang uzur dan tidak mempunyai saudara-mara atau waris selain tiada pendapatan untuk menjaga diri sendiri.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel