Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Akibat cemburu, lelaki tikam teman lelaki bekas kekasih


Tarikh kemaskini: 21/08/2019





GEORGE TOWN, 21 Ogos -- Seorang lelaki parah apabila ditikam pada bahagian perut oleh seorang peniaga dalam kejadian di sebuah pusat hiburan di Lorong Abu Sitti di sini, kira-kira pukul 1.15 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Che Zaimani Che Awang hari ini berkata suspek berumur 54 tahun itu yang menaiki sebuah motosikal telah datang ke pusat hiburan berkenaan dan terus menikam bahagian perut pengunjung lelaki berusia 40 tahun itu menggunakan sebilah pisau.

“Semasa kejadian tersebut, pemilik pusat hiburan berusia 46 tahun yang berada di situ cuba menahan suspek yang mahu melarikan diri tetapi turut ditikam di bahagian tangan sebelum lelaki itu memecut laju motosikalnya,” katanya di sini.

Beliau berkata kedua-dua lelaki yang cedera itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.

Che Zaimani berkata ekoran kejadian itu, polis telah merekodkan keterangan bekas teman wanita suspek berumur 46 tahun yang memaklumkan mereka telah berpisah sejak lebih sebulan lepas kerana perselisihan faham.

Katanya wanita berkenaan turut memaklumkan bekas teman lelakinya itu merupakan rakan kongsinya dalam perniagaan sebuah kedai makan dan mereka tinggal bersama sejak enam tahun lepas.

Menurutnya, wanita itu percaya suspek berbuat sedemikian berikutan cemburu dan marah dia telah menjalinkan hubungan dengan lelaki lain dan bertindak menikam teman lelaki baharu wanita itu.

"Ekoran kejadian itu, polis menyerbu sebuah pondok di Hong Seng Estate, Pulau Tikus di sini pukul 6 pagi hari ini hasil risikan dan maklumat yang diperoleh, kami berjaya menahan suspek dalam kejadian tikam tersebut," katanya.

Katanya lelaki yang sudah berkahwin itu mengaku terlibat dalam kejadian terbabit dan dia akan direman untuk siasatan lanjut bagi membantu siasatan kes berkenaan.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

APM NS sedia hadapi sebarang kemungkinan bencana

 
     

Dr Mahathir, isteri cetus keterujaan di Pantai Chenang

 
     

Anwar setuju tindakan polis tahan individu dikaitkan dengan keganasan

 
     

Ibu mati, anak OKU dijumpai dahaga lapar dalam rumah di Skudai

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel