Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tular gambar patung Jepun tindakan tidak bertanggungjawab


Tarikh kemaskini: 20/08/2019





PARIT BUNTAR, 20 Ogos -- Tindakan menularkan gambar dua replika patung tentera Jepun di pekarangan Wisma Majlis Daerah Kerian (MDK) di sini perbuatan yang tidak bertanggungjawab kerana sengaja mencetuskan rasa tidak senang dalam kalangan orang ramai. 

Exco Komunikasi, Multimedia, NGO dan Penerangan Perak Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim berkata pihak MDK telah menyahut seruan untuk penyertaan dalam semarak kemerdekaan dengan membina dekorasi bagi menjelmakan sikap sayangkan negara. 

“Pada dekorasi itu ada dua patung askar Jepun dan ia dibuat bukan hendak mendewa-dewakan (Jepun), tetapi untuk memberitahu sejarah bagaimana negara ini mencapai kemerdekaan dan kejayaan pejuang negara menumpaskan askar Jepun.

“Kita perlu bersikap rasional dalam beberapa isu dan harus ada sikap tabbayun iaitu semak dulu sebelum sebarkan. Ini kekangan yang dihadapi kerajaan walaupun kita memberikan kebebasan kepada rakyat tetapi jangan rosakkannya," katanya.

Hasnul Zulkarnain yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong bercakap kepada pemberita selepas menyambut ketibaan 133 peserta Kembara Merdeka Jalur Gemilang yang tiba dengan 62 buah kenderaan sebelum melepaskan semula untuk  ke Taiping.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas gambar yang tular di media sosial baru-baru ini mengenai dakwaan MDK membina dua patung tentera Jepun di kawasan MDK sebagai satu tindakan tidak menghormati pejuang negara.

Menurutnya rakyat hendaklah menjaga hati semua yang pernah berjuang untuk negara termasuk ahli keluarga mereka dengan tidak menyebarkan sebarang perkara yang boleh mencetuskan kesedihan. 

MDK sebelum ini menjelaskan patung berkenaan adalah gimik era zaman sebelum kemerdekaan iaitu sewaktu penguasaan tentera Jepun. 

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kerian Supt Omar Bakhtiar Yaacob ketika ditemui berkata pihaknya sudah menerima laporan daripada MDK semalam berhubung isu berkenaan dan ia masih dalam siasatan.

Beliau berkata pihaknya menyerahkan kes itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA 

 


 

   

 
 
     
   
 

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel