Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Lelaki cedera dalam letupan rumah meninggal dunia


Tarikh kemaskini: 20/08/2019





GEORGE TOWN, 20 Ogos -- Selepas tiga hari bertarung nyawa, lelaki yang melecur hampir keseluruhan badannya akibat letupan gas bocor di rumahnya di tingkat 20 Pangsapuri Green Garden, Jalan Paya Terubong, Ahad lepas meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP), hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Che Zaimani Che Awang berkata Lee Kok Eang, 62, meninggal dunia kira-kira pukul 2.30 pagi hari ini semasa mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU). 

"Menurut laporan bedah siasat, mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas melecur di seluruh anggota badan kerana sebelum ini warga emas itu melecur lebih 80 peratus akibat kejadian itu," katanya di sini.

Dalam kejadian pukul 8 pagi itu, dinding dan koridor kediaman mangsa bersama anak lelaki, menantu dan cucu runtuh akibat letupan yang dipercayai berpunca daripada kebocoran gas.

Letupan itu dipercayai berlaku selepas mangsa cuba menyalakan pemetik api untuk mencucuh rokok sebelum ia menyambar gas yang bocor dan memenuhi ruang rumah terbabit.

Sementara itu, anak lelaki mangsa, Lee Chye Soon, 38, berkata, mereka sekeluarga reda dengan pemergian bapa kerana sebelum ini doktor memberitahu peluang ayahnya untuk hidup sangat tipis.

Katanya doktor ada memaklumkan kepadanya yang ayahnya hanya mempunyai peluang satu peratus sahaja untuk hidup berikutan kecederaan dialaminya sangat teruk.

"Badannya begitu lemah dan mungkin kerana faktor usia membuat ayah tidak mampu untuk melawan kesakitan yang ditanggungnya. Kami reda dan sekurang-kurangnya dia tidak terus menanggung kesakitan," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HPP di sini.

Lee yang bekerja sebagai penjual kereta berkata buat masa ini beliau dan keluarganya terpaksa menumpang di rumah ibu mentuanya yang tinggal berhampiran kerana rumah didiami sejak 15 tahun lalu itu masih belum dibaiki lagi.

"Dengan keadaan isteri yang hamil tujuh bulan sekarang, saya terpaksa menumpang di rumah ibu mentua sementara menunggu rumah yang mengalami kerosakan itu dibaiki. Saya juga berharap ada pihak sudi menghulurkan bantuan bagi mempercepatkan pembinaan semula rumah kami," katanya.

-- BERNAMA 

   

 
 
     
   
 

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     

MBM cadangkan supaya ijazah graduan protes ketika graduasi ditahan sehingga mohon maaf

 
     

PPIK - KPDNHEP bincang isu tarik kereta

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel