Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Lima suspek laku khianat di Lumut ditahan


Tarikh kemaskini: 20/08/2019





LUMUT, 20 Ogos  -- Polis menahan lima lelaki yang dipercayai melakukan khianat dan vandalisme dengan memecahkan cermin kereta di kawasan perumahan sekitar Ayer Tawar di sini, sejak Sabtu lepas. 

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Muhammad Hanif Othman berkata kesemua suspek berumur lingkungan 18 hingga 24 tahun ditahan kira-kira pukul 2.30 pagi tadi selepas pihak polis menjalankan operasi menjejaki kumpulan berkenaan.

Katanya siasatan awal mendapati kesemua lelaki berkenaan yang tidak bekerja mengaku membuat khianat berkenaan namun motif utama masih lagi disiasat.

“Soal siasat ke atas semua tangkapan mendapati mereka mengaku melakukan perbuatan khianat dengan membaling batu ke arah 18 cermin kereta yang parkir di luar sekitar kawasan Taman Perumahan di Ayer Tawar.

“Mereka tidak memilih jenis kereta dan melakukannya secara rawak. Malah selepas pecahkan cermin tiada barang pemilik kereta dilaporkan hilang,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung di sini hari ini.

Muhammad Hanif berkata antara kawasan perumahan yang terlibat adalah Taman Matahari, Taman Ambika, Taman Kenari, Taman Desar Ayer Baru, Taman Ayer Tawar, di Hadapan Klinik Ayer Tawar serta di Jalan Ling Sing Hang.

Katanya kesemua suspek juga tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan hasil saringan air kencing juga negatif.

“Kita turut merampas tiga motosikal bersama-sama mereka dipercayai digunakan dalam kes ini dan mereka melakukan kegiatan khianat itu seawal pukul 2 hingga 4 pagi di sekitar kawasan perumahan tersebut,” katanya.

Muhammad Hanif berkata kesemua suspek  direman selama dua hari mulai hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     

MBM cadangkan supaya ijazah graduan protes ketika graduasi ditahan sehingga mohon maaf

 
     

PPIK - KPDNHEP bincang isu tarik kereta

 
     

Kes Letupan CityOne Megamall : Bicara pengarah mulai 28 Jan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel