Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Proses pemeriksaan awam projek LRT Pulau Pinang bermula


Tarikh kemaskini: 20/08/2019





GEORGE TOWN, 20 Ogos -- Kerajaan Negeri Pulau Pinang memulakan proses pemeriksaan awam bagi mendapatkan pandangan rakyat di negeri ini berhubung projek pembinaan Kereta Api Transit Aliran Ringan (LRT) Bayan Lepas-Komtar yang diluluskan kerajaan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata ia selaras dengan Seksyen 84 Akta Pengangkutan Darat 2010 yang memerlukan kerajaan negeri sebagai pemilik projek memulakan proses itu bagi mendapatkan maklum balas orang ramai.

"Pemeriksaan awam yang bermula semalam sehingga 19 Nov ini merupakan keperluan yang mesti dipenuhi sebelum skim kereta api LRT Bayan Lepas-Komtar mendapat kelulusan muktamad daripada Kementerian Pengangkutan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata bagi kemudahan rakyat negeri ini, proses pemeriksaan awam dapat dilakukan di empat lokasi tetap mengikut waktu pejabat iaitu Komtar, Majlis Perbandaran Seberang Perai di Perda, Pejabat Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) di One Precint, di sini dan ibu pejabat APAD di Putrajaya .

Selain itu, pusat pemeriksaan awam bergerak juga akan beroperasi di kawasan tumpuan orang ramai seperti pusat membeli-belah serta hab pengangkutan negeri ini dan setakat ini, dua pusat pemeriksaan bergerak sudah beroperasi, masing-masing di Tesco E-gate dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang sehingga 21 Sept.

Chow berkata pemeriksaan awam bergerak ini akan beroperasi di Sunshine Square dan Terminal Bas Sungai Nibong dari 19 hingga 22 Sept, sebelum ke Penang Sentral di Butterworth (6 Okt) dan Penang Skills Development Centre (PSDC) di Bayan Lepas (9 Okt).

"Mereka (orang ramai) boleh menyampaikan pandangan, ulasan atau mengemukakan soalan secara bertulis berkenaan projek itu dan kesemua maklum balas yang diterima akan dikumpulkan sebelum dikemukakan kepada kementerian melalui APAD untuk penambahbaikan cadangan projek ini," katanya.

Beliau berkata penglibatan dan maklum balas daripada orang awam, badan bukan kerajaan dan pihak berkepentingan dalam proses pemeriksaan awam bagi penilaian projek itu sekali gus menggambarkan prinsip pentadbiran demokrasi dan terbuka kerajaan.

Orang ramai diseru untuk datang ke lokasi pemeriksaan awam yang terdekat bagi memberikan pendapat dan usaha kerajaan negeri mencapat matlamat untuk menaikkan peratusan penggunaan pengangkutan awam kepada 40 peratus, katanya.

APAD sebelum ini menetapkan 30 syarat perlu dipatuhi kerajaan negeri bagi pembinaan LRT jajaran Komtar ke Bayan Lepas dan sistem pengangkutan LRT yang pertama di Pulau Pinang itu  membabitkan jajaran sepanjang 29.9 kilometer dengan 27 stesen.

Jajaran yang bermula di Komtar akan melalui Gelugor, Bayan Baru, Bayan Lepas dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) sebelum berakhir di tapak cadangan projek tambakan laut di selatan Pulau Pinang (PSR).

Dalam perkembangan lain, Chow berkata pembinaan pintasan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu (LCE) ke Air Itam dijangka dapat dimulakan 1 Sept ini.

"Saya percaya projek itu dapat bermula 1 Sept ini dan ketika ini pemaju di peringkat akhir untuk meneliti reka bentuknya," katanya.

Projek pintasan Lebuhraya LCE ke Air Itam adalah sebahagian daripada tiga pakej lebuh raya yang dirancang dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP).

-- BERNAMA 

   

 
 
     
   
 

Kes Letupan CityOne Megamall : Bicara pengarah mulai 28 Jan

 
     

SPR terpaksa guna pakai persempadanan semula tahun lepas

 
     

Pemanis sokong saranan Anwar Ibrahim semua majlis anjuran kerajaan wajib guna Bahasa Melayu

 
     

Ibu negara Indonesia di Kalimantan: Sarawak, Sabah terima tempias positif

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel