Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Bahan kitar semula bukti semangat kemerdekaan pelajar tadika


Tarikh kemaskini: 20/08/2019





KUANTAN, 20 Ogos -- Bahan kitar semula seperti botol minuman, bekas telur dan cawan kertas yang diwarnakan menjadi 'bukti semangat' kemerdekaan kepada 78 murid Tadika Seri Kuantan di sini, hari ini. 

Mereka jelas tidak dapat menyembunyikan rasa teruja apabila diminta mewarnakan bahan kitar semula itu dengan warna merah, kuning, putih dan biru, yang hendak digunakan bagi membina kolaj bertemakan Jalur Gemilang.

Seorang murid Nur Lathifah Anesa Mohd Khairul Anuar, enam tahun, mengakui tidak menyangka botol kosong yang dibawa dari rumah boleh dijadikan bahan seni yang menarik. 

"Seronok bila cikgu ajar bagaimana botol ini boleh dipotong menjadi bentuk bunga dan diwarnakan... tapi cikgu kata hanya empat warna sahaja yang boleh digunakan. Ada juga kawan yang membawa bekas telur. 

"Cikgu kemudian ajar kami cara untuk sama-sama menyusun bahan yang sudah diwarnakan menjadi bendera. Sekarang saya tahu namanya Jalur Gemilang," katanya kepada Bernama di sini, hari ini. 

Nur Lathifah Anesa berkata dia teruja apabila melihat kolaj itu dicantumkan menjadi bendera Malaysia  sebelum cikgu tadika itu meletak tiga anak patung, yang setiap satu mewakili bangsa utama di Malaysia di hadapan bendera itu. 

Dia juga dengan penuh bangga memberitahu sudah menghafal lirik lagu Negaraku dan beberapa lagu berkaitan kemerdekaan yang diajar guru sebagai persediaan menyambut Hari Merdeka. 

Sementara itu, pengetua tadika Nor Rizanah Yusuff, 55, berkata mereka menerapkan semangat kemerdekaan menerusi aktiviti seni bagi menarik minat murid yang berusia antara empat hingga enam tahun. 

Setiap tahun, mereka akan mencari kaedah menarik untuk menjelaskan mengenai  kemerdekaan dan kepelbagaian kaum di Malaysia kepada pelajar setiap kali bulan Ogos.

"Kami membelanjakan antara RM500 ke RM1,000 setiap tahun bagi menghiasi tadika dengan bendera kecil dan dekorasi lain yang berkaitan dengan kemerdekaan. 

"Untuk tahun ini, kami memilih bahan kitar semula sebagai tema. Kami rasa ia bersesuaian dengan slogan Malaysia Bersih yang diperkenalkan kerajaan," katanya. 

-- BERNAMA 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel