Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pekak, bisu tidak halang Danish si mata biru berjaya dalam pendidikan


Tarikh kemaskini: 20/08/2019





IPOH, 20 Ogos -- Tidak mampu mendengar dan bisu dianggap sebagai kekurangan diri, namun tidak sesekali menjadikan ia sebagai penghalang untuk melakar kejayaan, demikian luahan Danish Abdul Rahim.

Berpegang kepada semangat ingin berjaya, Danish, 23, bukan sahaja mampu menamatkan pengajian peringkat Sijil Kemahiran Pembinaan di Politeknik Ungku Omar di sini selama dua tahun, malah beliau juga merupakan atlet lari pekak kebangsaan.

Anak keempat daripada lima beradik itu berkata kekurangan diri sehingga sukar untuk berkomunikasi dengan pensyarah dan rakan-rakan sekelas tidak menghalangya daripada menuntut ilmu serta melengkapkan diri dengan pelajaran.

“Kadang-kadang saya sedih dan rendah diri namun terdapat rakan-rakan di asrama dan ada seorang teman rapat sering memberi sokongan kepada saya supaya tidak berputus asa dalam pelajaran,” katanya kepada pemberita pada Istiadat Konvokesyen ke-48, Politeknik Ungku Omar di sini hari ini.

Istiadat hari pertama hari ini disempurnakan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah. Seramai 2,270 gradaun menerima sijil, diploma dan ijazah sepanjang tiga hari konvokesyen.

Danish, 23, yang memiliki sepasang anak mata berwarna biru berkata demikian dengan menggunakan bahasa isyarat yang diterjemahkan Pensyarah Program Sijil Kemahiran Pembinaan, Sri Hafiza Kamaruddin.

Walaupun berseorangan tanpa kehadiran ahli keluarga pada hari yang bermakna itu, Danish tetap kelihatan gembira kerana berjaya menamatkan pengajian setelah lebih dua tahun menuntut di politeknik berkenaan.

“Ibu bapa saya tidak dapat hadir pada hari konvokesyen ini kerana bapa saya Abdul Rahim Abdul Manaf dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, Selangor disebabkan demam manakala ibu saya Shathirah Mohd Raheia perlu menjaga bapa,” katanya.

Tidak bercadang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, sebaliknya Danish memilih untuk terus aktif dalam bidang sukan dan kini sedang membuat persiapan menjelang Sukan Asia di Hong Kong November depan dan Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) di Johor pada Jun 2020.

Danish pernah beraksi dalam acara larian Deaflympics mewakili Malaysia di Turki pada 2017 menerusi sukan olahraga acara larian 100 meter (m), 400m, 4x100 dan 4x400.

Sementara itu, hidup susah tidak menghalang Mohd Suhairi Samad, 23, dari Johor Bahru untuk meneruskan pelajaran selama tiga tahun di institusi itu demi memperoleh segulung diploma dalam bidang geomatik hari ini.

"Saya memanfaatkan wang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kerana ia dapat membantu mengurangkan beban keluarga menanggung kos pelajaran saya,” kata anak ketiga daripada empat beradik itu.

Bapanya Samad Mohd Tap, 59, merupakan seorang pemandu bas persiaran,  manakala ibunya Sa’adiah Kemat, 55, seorang suri rumah yang turut mengambil upah menjahit baju untuk membantu menyara keluarga mereka.

Mohd Suhairi yang bercita-cita untuk menjadi Juruukur Tanah Berlesen berkata kesusahan dilalui serta pengorbanan ibu bapa menjadi motivasi untuknya belajar bersungguh-sungguh dan kini bekerja sebagai Pemproses Data di sebuah syarikat juruukur di Johor Bahru sejak Disember lepas.

Beliau turut berhasrat untuk menyambung pelajaran secara separuh masa dalam Ijazah Sarjana Muda Geomatik di Universiti Teknologi Malaysia kampus Kuala Lumpur.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel