Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

USM tambah baik tujuh satelit klinikal tingkat kecekapan rawatan


Tarikh kemaskini: 20/08/2019





KOTA BHARU, 20 Ogos -- Universiti Sains Malaysia (USM) terus mengorak langkahnya dalam bidang perubatan dengan menambah baik tujuh satelit di Pusat Integrasi Simulasi Klinikalnya seiring dengan perkembangan teknologi semasa.

Naib Canselornya Prof Datuk Dr Asma Ismail berkata penambahbaikan itu dilakukan melalui penggunaan kecerdesana buatan (AI) dan teknologi digital bagi meningkatkan kecekapan dalam rawatan dan menjamin keselamatan pesakit.

"Penambahbaikan satelit ini adalah langkah penjenamaan semula Pusat Integrasi Simulasi Klinikal Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) HUSM dalam usaha menyediakan rawatan berteknologi tinggi dengan hasil terbaik kepada pesakit.

"Inisiatif ini juga salah satu usaha berterusan USM dalam menyahut seruan kerajaan dalam mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis perasmian Persidangan Antarabangsa mengenai Sains Perubatan dan Kesihatan (ICMHS) di sini, hari ini yang dirasmikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi Kementerian Pendidikan, Datin Paduka Ir Dr Siti Hamisah Tapsir.

ICMHS itu diadakan sempena ulang tahun ke-50 USM dengan kerjasama Universiti Lorraine, Perancis dan Universiti Mahasarakham, Thailand bagi membincangkan pelbagai topik kesihatan selain perkongsian penemuan kajian dan penyelidikan.

Program selama dua hari yang bermula hari ini itu disertai 26 orang pembentang dengan ucaptamanya disampaikan oleh Naib Canselor Gulf Medical University, India Prof Manda Venkatramana.

Sementara itu, Siti Hamisah berkata usaha yang dilakukan USM bertepatan dengan hasrat kerajaan dalam mewujudkan pusat pengajian yang memberi impak berkesan kepada pembangunan negara.

Katanya pensyarah yang proaktif, inovatif dan kreatif amat diperlukan dalam mendepani Revolusi Industri 4.0.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     

Jerebu jejas pendapatan peniaga Tamu Ahad Sabindo

 
     

Jerebu tidak halang orang ramai beriadah

 
     

Jerebu: penduduk Melaka hadkan aktiviti luar

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel