Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Usahawan Sabah digalak daftar sijil halal, perluas potensi pasaran produk


Tarikh kemaskini: 20/08/2019




KOTA KINABALU, 20 Ogos -- Kerajaan Sabah menggalakkan kira-kira 55,000 usahawan di negeri itu mendapatkan sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi membolehkan perusahaan mereka berkembang lebih pesat sehingga mampu menembusi pasaran antarabangsa.

Pembantu Menteri Perdagangan dan Perindustrian negeri Azhar Matussin berkata sejumlah 8,120 syarikat mempunyai pensijilan halal Jakim di seluruh negara pada tahun lepas, dan daripada jumlah itu hanya 204 syarikat dari Sabah memiliki sijil berkenaan.

"Sabah akan bekerjasama dengan agensi berkaitan daripada sektor kerajaan dan swasta untuk memastikan syarikat Sabah yang mempunyai pensijilan halal bertambah pada tahun ini seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara (dan negeri)," katanya berucap merasmikan Program Halal Malaysia 2019-Sabah di sini, hari ini.

Program tiga hari mulai semalam anjuran Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) dengan kerjasama Jabatan Standard Malaysia dan Credit Guarantee Corporation Berhad itu bertujuan memberi manfaat kepada usahawan tempatan Sabah mencari peluang perniagaan dalam pasaran halal yang semakin berkembang.

Ia juga bermatlamat meningkatkan kesedaran dan penyertaan perniagaan halal selain platform memberi maklumat terkini berkenaan industri halal termasuk produk perbankan Islam dan pembiayaan, pematuhan berkaitan pensijilan halal, pembangunan dan kesesuaian piawaian halal.

Azhar berkata sektor pelancongan mesra Muslim dan sektor produk pertanian berasaskan kelapa sawit merupakan antara fokus agenda pembangunan halal yang dilihat mampu memberi pulangan ekonomi kepada Sabah.

Katanya kerajaan negeri komited menyediakan platform meningkatkan sosio-ekonomi Sabah sekali gus melahirkan bakat baharu industri halal yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan negeri.

"Program Halal Malaysia ini diharap akan mencapai matlamat mewujudkan persekitaran industri halal inklusif. Saya juga berharap usahawan Sabah mendaftarkan diri dalam latihan industri halal komprehensif sepanjang program itu bagi meningkatkan produktiviti, melengkapkan syarikat dengan pematuhan sijil halal diiktiraf kerajaan bagi menembusi pasaran global," katanya.

Azhar berkata Sabah turut mempunyai dua Taman Perindustrian Halal (Halmas) iaitu Taman Perindustrian Kota Kinabalu dan Kluster Industri Minyak Sawit Lahad Datu yang merupakan satu kejayaan kerana status Halmas hanya diberikan kepada taman perindustrian mempunyai ciri utama seperti pengeluaran produk halal berkualiti, berintegriti dan ciri keselamatan tinggi.

"Saya berharap akan lebih ramai pelabur asing melabur di Halmas Sabah bagi meningkatkan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi HDC Datuk Mahmud Abbas dalam sidang media berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Jakim dalam mempermudahkan proses pemilikan sijil halal bagi meningkatkan lagi jumlah syarikat Sabah memiliki sijil berkenaan sekali gus memanfaatkan sepenuhnya pembangunan industri halal.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

KV Keningau raih pingat perak pada pertandingan inovasi di Singapura

 
     

Kerajaan negeri Perak bangunkan projek pembangunan koridor persaraan

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Melaka turun RM3.6 juta tahun lepas

 
     

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel