Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Madius ajak rakyat sokong kerajaan baharu demi corakkan kemakmuran


Tarikh kemaskini: 20/08/2019





TUARAN, 20 Ogos  -- Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, mengajak rakyat di negara ini bangkit bersama dengan penuh azam dan tekad menyokong kerajaan baharu demi mencorakkan kemakmuran untuk dinikmati bersama.

Beliau berkata, selaras dengan tema Hari Kebangsaan 2019 iaitu Sayangi Malaysiaku, Malaysia Bersih, diharapkan mampu memupuk semangat cintakan negara, mengeratkan jalinan perpaduan serta menjadikan Malaysia negara maju dengan rakyat memiliki jati diri dan berintegriti.

"Justeru, mari bersama-sama kembali kepada prinsip rukun negara yang menerapkan nilai murni berasaskan kedamaian, kesejahteraan, perpaduan, kesetiaan kepada raja dan negara selain bersikap toleransi antara satu sama lain dan mempunyai semangat patriotsime yang jitu supaya kita dapat hidup bersatu padu tanpa sengketa," katanya.

Beliau, yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah berkata demikian dalam ucapan sempena sambutan Bulan Kemerdekaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat daerah Tuaran, di perkarangan Dewan Tun Hamdan di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Jabatan Penerangan Sabah, Norzawiyah Bulka, Pegawai Daerah Tuaran, Mohd Sofian Alfian Nair dan Setiausaha Politik Ketua Menteri, Joanna Sue Henley Rampas.

Sambutan itu membabitkan 27 kontinjen pelbagai agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan di Tuaran, sekolah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik, turut dimeriahkan acara senamrobik, larian Sayangi Malaysiaku sejauh 3.77 kilometer dan pertandingan mewarna.

Madius turut melepaskan konvoi Kembara Merdeka membabitkan 55 kenderaan dari Kota Kinabalu menuju Kota Belud dan Kudat.

Beliau berkata, sebagai negara berdaulat dan merdeka, Malaysia berjaya melepasi pelbagai fasa penting, walaupun sebelumnya ada pihak meramalkan negara ini tidak akan kekal kerana akan berlaku kekacauan kerana hubungan kaum.

Bagaimanapun, negara ini berjaya membuktikan semua pendapat itu tidak tepat, apabila banyak kejayaan dan kemajuan dalam pelbagai bidang dicapai sepanjang tempoh kemerdekaan.

"Malaysia berjaya membuktikan ia dapat mengekalkan kestabilan politik negara yang menjadi asas kepada pembinaan negara yang kukuh dan mantap," katanya.

Sehubungan itu, Madius berkata, Malaysia sebuah negara pelbagai kaum yang unik, menjadikan rakyatnya istimewa dan sebagai aset yang perlu dijaga, pupuk dan pelihara demi kelangsungan kemerdekaan negara.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

KV Keningau raih pingat perak pada pertandingan inovasi di Singapura

 
     

Kerajaan negeri Perak bangunkan projek pembangunan koridor persaraan

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Melaka turun RM3.6 juta tahun lepas

 
     

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel