Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Seni sebelah tangan cecah ribuan ringgit


Tarikh kemaskini: 20/08/2019




Oleh Noornasrin Salsabila Othman

KOTA BHARU, 20 Ogos -- Kecacatan fizikal sejak lahir tidak menghalang Orang Kelainan Upaya (OKU), Kashim Mohamad, 66, untuk menghasilkan lukisan yang harganya boleh mencecah ribuan ringgit. 

Kashim atau mesra dipanggil Cikgu Kashim, yang cacat tangan kiri hingga ke paras siku, berkata walaupun hanya menggunakan sebelah tangan sahaja, namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus berkarya malah mampu meletakkan namanya sebaris pelukis profesional. 

“Saya tidak pernah berasa rendah diri dengan keadaan ini, malah ia menjadi pemangkin semangat untuk saya terus bergiat dalam bidang seni ini selain sentiasa mendapat sokongan rakan seni lain yang membuatkan saya tidak berasa ada kekurangan pada diri,” katanya ketika ditemui di Bazar Tok Guru di sini hari ini. 

Bapa kepada sembilan anak berusia antara 18 dan 42 tahun itu berkata minatnya dalam bidang lukisan mula berputik sejak di bangku sekolah rendah, malah beliau mula bergiat aktif memasuki pertandingan yang diadakan di peringkat daerah di negeri ini bermula di sekolah menengah. 

Katanya, sudah lebih 30 tahun beliau membabitkan diri sebagai guru lukisan di beberapa buah sekolah di sekitar bandar ini sejak 1973 termasuk Sekolah Chabang Empat Tumpat, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Amat Maher dan SMK Sultan Ismail sebelum bersara pada 2009.

“Selepas bersara sebagai guru pelukis, saya mengambil keputusan untuk menjadi pelukis sepenuh masa, dan sehingga kini saya sudah menghasilkan hampir 1,000 lukisan termasuk kaligrafi, abstrak dan landskap,” katanya yang menetap di Wakaf Che Yeh.

“Hasil karya yang dihasilkan dijual bermula serendah RM350 dan yang paling mahal pernah terjual berharga RM5,000 iaitu kepada seorang penduduk tempatan di negeri ini dengan lukisan bercorak abstrak yang sentiasa mendapat permintaan ramai,” kata Kashim. 

Katanya, beliau mengambil masa sekurang-kurangnya dua hingga tiga jam untuk menyiapkan sebuah lukisan kaligrafi dan pernah menghabiskan masa kira-kira lima hari bagi menghasilkan sebuah karya jenis landskap yang rumit.

“Setiap lukisan yang dihasilkan mempunyai nilai berharga dan ketika melukis saya memerlukan keadaan yang tenang dan damai barulah terhasil seni yang indah, malah kebiasaannya ilham dan idea melukis ini datang secara spontan,” katanya yang juga ahli Persatuan Seniman dan Warisan Kelantan.

Kashim turut aktif menyertai Hari Kraf Kebangsaan sejak 10 tahun lepas, yang diadakan setiap tahun di Kuala Lumpur, untuk mempamerkan hasil lukisannya sekali gus menjadi platform untuk beliau menjual karya lukisannya. 

“Selain penduduk tempatan, hasil karya yang dihasilkan berjaya menambat hati pelancong dari luar negara seperti Korea, Thailand dan juga Amerika Syarikat yang ‘jatuh hati’ apabila mereka melihat hasil karya yang dihasilkan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Seniman dan Warisan Kelantan, Wan Hamzah Wan Daud, 67, berkata persatuan itu ditubuhkan pada Mac lepas bertujuan mengumpulkan penggiat seni dari seluruh negeri. 

"Sehingga kini, kita mempunyai lebih 50 ahli dan kini kita dalam usaha bagi mengumpul penggiat seni terutamanya pelukis yang bergerak secara sendirian. 

"Apabila mereka berada di bawah persatuan ini, ia akan lebih memudahkan mereka untuk memasarkan hasil lukisan yang dihasilkan selain dapat menyertai aktiviti atau program yang diaturkan oleh pihak persatuan," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     

Jerebu jejas pendapatan peniaga Tamu Ahad Sabindo

 
     

Jerebu tidak halang orang ramai beriadah

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel