Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Rebut peluang timba ilmu di Kolej Komuniti - Tengku Hassanal


Tarikh kemaskini: 20/08/2019





KUANTAN, 20 Ogos -- Rakyat Pahang dinasihatkan merebut peluang menamba ilmu khususnya dalam bidang kemahiran yang ditawarkan Kolej Kemuniti di negeri ini. 

Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah bertitah pendidikan merupakan proses sepanjang hayat dengan ilmu pengetahuan menjadi aset terpenting dalam kehidupan. 

Titah baginda, di Pahang, kewujudan Kolej Komuniti diwujudkan di banyak daerah seperti Kuantan, Pekan, Rompin, Bentong, Bera dan Jerantut, yang semuanya dikendalikan pensyarah berkelayakan. 

"Banyak program ditawarkan berdasarkan kepada kemahiran yang sangat menarik dan berpotensi jika dipelajari. Ilmu kemahiran merupakan salah satu faktor utama dalam penentu pertumbuhan sektor ekonomi. 

"Saya bangga dengan semangat pensyarah Kolej Komuniti Pahang yang komited dalam menyampaikan ilmu kepada graduan untuk membina kemahiran, intelek dan jati diri graduan," titah baginda. 

Tengku Hassanal bertitah demikian semasa berkenan mencemar duli merasmikan Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Pahang 2019 di sini hari ini, melibatkan 1,226 graduan peringkat diploma dan sijil institusi pendidikan tersebut. 

Turut hadir ialah Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengarah Kanan Kompetensi Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Kementerian Pendidikan Malaysia Dr Mohd Rashahidi @ Rusdi Mohamood . 

Tengku Hassanal seterusnya mengingatkan graduan Kolej Komuniti supaya menggunakan ilmu dan kemahiran yang diperoleh untuk berbakti kepada masyarakat dan terus berusaha mencapai kejayaan yang lebih cemerlang pada masa depan. 

"Walau setinggi mana pun ilmu yang dicapai dan dikuasai, biarlah mengikut resmi padi semakin tunduk semakin berisi. Ingatlah jasa ibu bapa, penjaga dan pensyarah yang sentiasa berusaha memberi ilmu kepada anda. 

"Jadilah seorang graduan yang berketerampilan dan profesional serta dalam masa sama memiliki keperibadian yang teguh, mulia dan bebas daripada sikap riak mahupun meninggi diri," titah baginda. 

Tengku Hassanal juga berkenan menzahirkan rasa terima kasih kepada pensyarah dan pengurusan serta pentadbiran Kolej Komuniti yang melancarkan proses pendidikan di institusi berkenaan. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Usaha promosi produk tempatan melalui e-dagang langkah tepat - Saifuddin

 
     

Pesakit kanser tahap empat tangguh rawatan akibat kekangan kewangan

 
     

Sukarelawan sepenuh masa APM bakal terima perlindungan Perkeso

 
     

Aduan kebersihan tandas KLIA berkurang 80 peratus

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel