Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Penduduk Orang Asli cemas gajah liar kelilingi rumah


Tarikh kemaskini: 20/08/2019




GUA MUSANG, 20 Ogos -- Sekeluarga tujuh beranak Orang Asli di Kampung Aring 5 di sini cemas apabila seekor gajah jantan liar memasuki kawasan kampung dan mengelilingi rumah mereka awal pagi ini.

Gajah liar itu yang dipercayai dari hutan berhampiran telah menghampiri rumah keluarga itu pada kira-kira 6 pagi dan mengelilinginya beberapa kali sebelum beredar ke hutan berhampiran sejam kemudian.

Penduduk Orang Asli itu, Hussin Selik, 51, berkata kejadian gajah liar memasuki kampung itu adalah kali kedua sejak dua minggu lepas tetapi sebelum ini ia hanya memusnahkan tanaman pisang dan anak pokok getah sahaja. 

Beliau berkata, gajah itu dipercayai telah memasuki kampung itu seawal pukul 3 pagi dan mencemaskan keluarganya  apabila ia beberapa kali mengelilingi rumah mereka sebelum beredar. 

"Kami terdengar gajah itu menjerit lalu menjenguk melalui tingkap dan ternampak ada seekor gajah sehinga kami ketakutan tetapi bernasib baik gajah terbabit kemudiannya beredar selepas keliling rumah," katanya ketika ditemui di kampung itu hari ini.

Hussin berkata, sebaik gajah itu beredar, beliau mendapati 50 pokok pisang yang diusahakannya bersama jiran yang lain habis dirosakkan gajah itu.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Orang Asli (MPKKOA) Kampung Aring 5, Asrul Hussin,  31, berkata masalah ancaman gajah liar di kampung itu bukan perkara baru.

Malah, kata beliau, kejadian itu sudah beberapa kali berlaku tahun ini termasuk terbaru pada 8 Ogos lepas dan awal pagi tadi hingga suasana kehidupan penduduk tidak tenteram serta dalam ketakutan setiap masa. 

"Selepas perkara itu dilaporkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) daerah baru-baru ini, ada siasatan dilakukan tetapi belum ada tindakan menghalau gajah tersebut," katanya. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     

Jerebu jejas pendapatan peniaga Tamu Ahad Sabindo

 
     

Jerebu tidak halang orang ramai beriadah

 
     

Jerebu: penduduk Melaka hadkan aktiviti luar

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel