Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Polis tahan individu didakwa ugut bunuh Lee


Tarikh kemaskini: 20/08/2019





IPOH, 20 Ogos -- Polis menahan seorang individu yang didakwa membuat ugutan bunuh terhadap Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kebangsaan, Howard Lee Chuan How.

Ketua Polis Perak Datuk Razaruddin Husain berkata individu berusia lingkungan 30-an itu ditahan susulan laporan polis yang diterima berhubung dakwaan itu.

"Pihak polis telah menerima laporan dan menahan individu yang dipercayai terlibat dengan ugutan itu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Lee, yang juga Exco Pembangunan Belia dan Sukan Perak dalam kenyataan berkata ancaman tersebut diterima melalui tangkap layar satu kumpulan WhatsApp dan dihantar kepadanya.

Berikutan itu, pegawai Lee membuat laporan polis pada Ahad lepas.

Sementara itu, Razarudin dalam satu kenyataan berkata suspek berumur 35 tahun itu direman selama empat hari mulai hari ini dan polis turut merampas sebuah telefon bimbit ketika menangkap lelaki itu semalam. 

Beliau turut memberi jaminan siasatan dijalankan secara telus dan adil supaya tiada sebarang tindakan yang boleh menyemarakkan lagi kemarahan daripada mana-mana pihak ekoran kejadian itu. 

“Semua pihak terutama pentadbir kumpulan aplikasi pesanan diminta mematuhi garis panduan yang dikeluarkan berhubung perkara yang patut dan tidak patut dilakukan agar ahli tidak melakukan kesalahan jenayah atau sehingga menggugat keselamatan dan ketenteraman negara,” katanya.

Dalam pada itu, Lee mendedahkan beliau menerima satu lagi ugutan bunuh menerusi mesej yang dihantar oleh individu tidak dikenali di akaun Instagram miliknya.

"Mesej itu tertera dengan perkataan 'saya akan panggang kamu'.

"Saya memaafkan secara peribadi (individu yang melakukan ugutan bunuh) tetapi negara kita ada undang-undang yang perlu dipatuhi dan saya serahkan kepada polis untuk ambil tindakan," katanya dalam satu sidang media di sini, petang ini. 

Menurut Lee yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji, perkara paling merisaukan apabila menerima ugutan sedemikian adalah keselamatan isteri dan ahli keluarga.

-- BERNAMA
 

   

 
 
     
   
 

APM NS sedia hadapi sebarang kemungkinan bencana

 
     

Dr Mahathir, isteri cetus keterujaan di Pantai Chenang

 
     

Anwar setuju tindakan polis tahan individu dikaitkan dengan keganasan

 
     

Ibu mati, anak OKU dijumpai dahaga lapar dalam rumah di Skudai

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel