Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pengiktirafan bermakna kepada sukan Muay Thai Kelantan


Tarikh kemaskini: 20/08/2019





Oleh Azli Shafii

KOTA BHARU,  20 Ogos -- Satu pengiktirafan besar kepada sukan Muay Thai Kelantan apabila peninju dari negeri itu dipilih mewakili negara pada Kejohanan ONE Championship pada 6 Sept depan di Ho Chi Minh City, Vietnam.

Dua peninju terbabit adalah Azwan Che Wil dan Mohamad Fakri Yusoff yang akan bertarung  menerusi acara ONE Immortal Triumph.

Presiden Persatuan Sukan Boksing Negeri Kelantan Datuk Seri Dr Mohd Fared Abdul Ghani berkata pemilihan dua peninju itu satu pengiktirafan yang cukup bermakna kepada pihaknya bagi melahirkan bakat dalam sukan terbabit ke peringkat yang lebih tinggi. 

"Ia harus menjadi kebanggaan kepada negeri ini yang cukup aktif dalam sukan Muay Thai untuk menyumbang kepada arena sukan negara bagi menghantar atlet di pentas antarabangsa. 

"Kedua-dua peninju itu perlu menggunakan peluang sebaik mungkin bagi membuktikan sukan Muay Thai negara khusus dari negeri ini hampir setaraf dengan peninju Muay Thai dari negara lain," katanya kepada Bernama di sini,  hari ini.

Azwan, 24, akan bertemu peserta tuan rumah, Tran Duy Nhat dalam saingan flyweight ONE Super Series manakala Mohamad Fakri yang juga berasal dari Kelantan, akan beraksi dalam saingan featherweight ONE Super Series berdepan Micheal Pham dari United Kingdom.

Mohd Fared berkata bagaimanapun pihaknya sedikit bimbang disebabkan dua peninju terbabit akan bertarung dalam sistem kalah mati (KO) pada kejohanan itu.

"Sebelum ini mereka bertarung dalam sistem kiraan mata pada kejohanan yang disertai, namun kami mahu mereka mengambil cabaran dan pengalaman itu.

"Oleh itu mereka terpaksa menjalani latihan di luar Kelantan bagi mendapat pendedahan dengan sistem KO pada kejohanan terbabit, " katanya. 

Acara ONE Immortal Triumph merupakan acara pertama ONE Championship yang dianjurkan di Vietnam.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Usaha promosi produk tempatan melalui e-dagang langkah tepat - Saifuddin

 
     

Pesakit kanser tahap empat tangguh rawatan akibat kekangan kewangan

 
     

Sukarelawan sepenuh masa APM bakal terima perlindungan Perkeso

 
     

Aduan kebersihan tandas KLIA berkurang 80 peratus

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel