Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

34 individu terlibat aktiviti keganasan ditahan di Johor pada 2015 hingga 2018


Tarikh kemaskini: 20/08/2019





JOHOR BAHRU, 20 Ogos -- Polis Johor menahan seramai 34 individu pada tahun 2015 sehingga 2018 kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti keganasan, kata Ketua Polis Datuk Mohd Kamarudin Md Din.

Beliau berkata mereka yang ditahan adalah penduduk tempatan dan warga asing namun tidak ada seorang pun merupakan penjawat awam.

“Berdasarkan kepada maklumat yang ada pada saya, ia (penahanan) lebih kepada idealisme, kefahaman yang begitu fanatik terhadap sesuatu perkara sama ada terhadap pemimpin atau sesuatu fahaman.

“Namun dengan keupayaan yang dimiliki terutamanya dari Cawangan Khas, ancaman-ancaman ini dapat kita kawal dan mereka yang terlibat pun dapat ditangkap sebelum melaksanakan agenda yang dirancang,” kata beliau.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Kontinjen Polis Johor dan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Timbalan Ketua Polis Johor daripada beliau kepada Timbalan Ketua Polis Johor yang baharu Datuk Shafie Ismail.

Menurut Mohd Kamarudin, bagi memastikan aktiviti keganasan ini terus dapat dikekang, pihaknya akan memantau keadaan dari masa ke semasa dan mendapatkan risikan-risikan yang perlu dari pelbagai pihak.

Terdahulu dalam ucapan beliau, Mohd Kamarudin turut mengingatkan warga polis Kontinjen Johor agar tidak sesekali terpengaruh dengan fahaman atau ajaran berbentuk radikal ini.

Ini kerana di Johor katanya sudah terdapat penularan ajaran sesat seperti ajaran Syiah dan Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) yang menganjurkan pelbagai aktiviti termasuk demonstrasi, bantahan, diskusi umum, seminar, pengedaran risalah, konvoi, korban dan sambutan hari asyura.

“Pengikut ajaran sesat menolak sistem demokrasi berpelembagaan dan ajaran Sunnah Al Jamaah, sehingga dilihat mampu menjadi pencetus kepada pemikiran ekstrem pemimpin serta pengikut dan seterusnya mendorong kepada tindakan ganas,” katanya.

Berhubung isu lain, Mohd Kamarudin berkata pihaknya akan memastikan bahawa indeks kadar jenayah di negeri ini terus menurun, lebih lagi tahun depan merupakan Tahun Melawat Johor dan temasya Sukan Malaysia (SUKMA) diadakan.

“Kita jangkakan jutaan orang akan mengunjungi negeri johor dan untuk itu, aspek keselamatan adalah penting bagi memastikan mereka yang mengunjungi Johor berasa selamat sepanjang keberadaan di sini.

 “Dalam masa sama, kita akan dapatkan bantuan daripada luar (polis negeri lain) untuk melancarkan penganjuran SUKMA kerana ia melibatkan penggunaan anggota trafik bagi melicinkan perjalanan lalu lintas daripada perkampungan-perkampungan khas atau venue-venue sukan yang akan ditentukan oleh pihak penganjur,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     

740 membida nombor pendaftaran kenderaan siri ALL setakat petang ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel