Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Identiti tiga mangsa rentung kemalangan masih belum dikenalpasti


Tarikh kemaskini: 20/08/2019





TEMERLOH, 20 Ogos -- Polis masih belum dapat mengenalpasti identiti tiga mangsa yang ditemukan rentung dalam kemalangan berhampiran stesen minyak di pekan Mengkuang, Triang, Bera dekat sini, pagi tadi. 

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Supt Kamarulzaman Jusoh berkata setakat ini, identiti mereka tidak dapat dikenalpasti kerana dokumen pengenalan diri mereka hangus dalam kemalangan itu. 

“Selain itu, kereta Proton Wira dipercayai warna biru yang dinaiki mereka juga tidak dapat dipastikan pemiliknya kerana turut musnah keseluruhan dalam kebakaran itu. 

“Sehubungan itu, kita minta sesiapa yang ada kehilangan anggota keluarga untuk ke balai berhampiran bagi membantu siasatan dalam kes ini,” katanya semasa dihubungi di sini, hari ini. 

Kamarulzaman berkata kemalangan di kilometer 43 Jalan Temerloh-Bahau di Bera, itu dipercayai berlaku pada 6.15 pagi, melibatkan kereta tersebut dengan dua buah lori. 

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Proton Wira dari Triang menuju ke Kemayan, Bera terbabas dan melanggar lori jenis Mitsubishi yang berada di laluan bertentangan sebelum melanggar sebuah lagi lori jenis Hicom berada di belakang lori pertama. 

“Kereta itu dipercayai hilang kawalan dan berpusing akibat kesan kemalangan sebelum terbakar,” katanya. 

Kedua-dua lori itu dilaporkan mengalami kerosakan di bahagian hadapan akibat kemalangan tersebut.

Kamarulzaman berkata pemandu kedua-dua lori yang berusia 41 dan 48 tahun bagaimanapun tidak cedera, manakala kelindan lori Hicom yang berusia 24 tahun cedera ringan di kaki dan menerima rawatan pesakit luar di klinik kesihatan berhampiran. 

Kamarulzaman berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) untuk bedah siasat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Usaha promosi produk tempatan melalui e-dagang langkah tepat - Saifuddin

 
     

Pesakit kanser tahap empat tangguh rawatan akibat kekangan kewangan

 
     

Sukarelawan sepenuh masa APM bakal terima perlindungan Perkeso

 
     

Aduan kebersihan tandas KLIA berkurang 80 peratus

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel