Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

LKIM salur bantuan kepada nelayan mangsa taufan Lekima


Tarikh kemaskini: 19/08/2019





KANGAR, 19 Ogos (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Perlis menerusi Skim Bantuan Bencana Alam Dan Kebajikan Nelayan (SBBAKN) menyalurkan bantuan baik pulih rumah nelayan RM10, 000 kepada tiga nelayan di sini yang musnah tempat tinggal dan ada yang mengalami kerosakan teruk akibat ribut taufan Lekima pada 9 Ogos lepas. 

Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, jumlah itu adalah kadar bantuan maksimum bagi rumah ranap, manakala RM1,000 kadar bantuan minimum bagi kerosakan harta benda dan lain-lain peralatan mengikut kadar nilaian kerosakan.

“Mereka yang layak menerima sumbangan dari skim ini adalah nelayan  yang telah menjadi ahli Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) atau nelayan yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan Malaysia atau Jabatan Perikanan Perlis dan mempunyai Kad Pendaftaran Nelayan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat rumah nelayan mangsa ribut di Kampung Pulau Ketam iaitu Jasslie Shafie, 55, dan Mazirah Abu, 42, manakala seorang lagi Din Abdullah dari Kampung Seberang Alor di sini.

Dalam lawatan itu, beliau turut menyampaikan bantuan segera berupa barang keperluan dapur kepada ketiga-tiga mereka bagi meringankan beban mangsa dan juga keluarga.

Pada 9 Ogos, 19 rumah nelayan di Kuala Perlis terjejas akibat taufan Lekima.

Faiz berkata 19 rumah tersebut telah dibaiki berperingkat oleh pihak Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) dan pihaknya akan menyalurkan bantuan SBBAKN dalam tempoh terdekat ini.

Beliau juga menyarankan agar para nelayan berdaftar yang berkeperluan membuat permohonan untuk mendapatkan bantuan dan sumbangan dari skim ini menggunakan borang permohonan yang boleh didapati secara percuma di pejabat PNK yang berdekatan dan laman web rasmi Lembaga Kemajuan Ikan  Malaysia di http://www.lkim.gov.my.

Sementara itu, Rosmaliyani Mustafa, 38, isteri kepada nelayan, Jasslie bersyukur dengan tindakan pantas semua pihak membantu beliau dan keluarganya yang mengalami kerosakan rumah yang agak teruk.

"Sebagai suri rumah, rumahlah ‘syurga saya’ dan saya banyak menghabiskan masa menguruskan lima anak sambil membuat jualan kuih untuk membantu suami. Apabila kediaman kami mengalami kerosakan akibat bencana, segala peralatan masak saya juga habis hilang dan rosak diterbangkan angin,” katanya.

Beliau berkata terdapat kira-kira 90 rumah di perkampungan itu dan rumahnya antara yang terjejas teruk.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 

 


 

   

 
 
     
   
 

LZS akan terus beri kerjasama kepada SPRM dalam siasatan libatkan dana LZS dan RTM

 
     

APM NS sedia hadapi sebarang kemungkinan bencana

 
     

Dr Mahathir, isteri cetus keterujaan di Pantai Chenang

 
     

Anwar setuju tindakan polis tahan individu dikaitkan dengan keganasan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel