Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Impian Selangor United kembali ke Stadium Sungai Besar semakin cerah


Tarikh kemaskini: 19/08/2019





KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Hasrat Selangor United untuk kembali beraksi di Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam, dalam saingan Liga Premier 2020 semakin menjadi kenyataan selepas Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berpuas hati dengan proses penambahbaikan sedang dijalankan di venue berkenaan.

Ketua Pegawai Operasi MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd, yang mengadakan lawatan di venue itu hari ini, berkata Stadium Sungai Besar telah mencapai tahap persediaan 75 peratus untuk digunakan bagi aksi Liga Premier musim depan, namun perlu melalui beberapa penambahbaikan terutamanya meningkatkan kualiti padang.

Beliau turut memaklumkan aspek lain seperti soal penginapan dan tempat duduk penonton juga tidak menjadi masalah besar, sekali gus mencerahkan peluang Selangor United untuk kembali beraksi di venue tersebut.

“Pagar keselamatan penonton juga sudah ada, yang telah dibina sejak Piala Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan kami ada melakukan pemantauan mengenai soal penginapan di sini.

“Ada beberapa hotel berdekatan yang jarak maksimum hanya 30 minit dari stadium, dan kami telah mengambil kira perkara ini, jadi secara keseluruhan saya memang berpuas hati setakat ini,” kata Mohd Shazli dalam kenyataan hari ini.

Presiden kelab Selangor United, Firdaus Mohamed sebelum ini mengesahkan pasukan itu berhasrat kembali beraksi di Stadium Sungai Besar susulan sambutan padu diterima pasukan berkenaan ketika beraksi di venue berkenaan pada saingan Piala FAM, musim lepas.

Selangor United menamatkan saingan Liga Premier 2019 di tempat kesembilan daripada 11 pasukan, setelah mengutip 21 mata.

Dalam saingan Liga Premier musim ini, Selangor United menggunakan Stadium Majlis Perbandaran Selayang sebagai gelanggangan tuan rumah pasukan berkenaan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     

Jerebu jejas pendapatan peniaga Tamu Ahad Sabindo

 
     

Jerebu tidak halang orang ramai beriadah

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel