fDpu8cjzosQ Utusan ditutup pada Rabu belum rasmi - NUJ Utusan
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Utusan ditutup pada Rabu belum rasmi - NUJ Utusan


Tarikh kemaskini: 19/08/2019




KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Dakwaan Utusan Melayu (M) Berhad akan menghentikan cetakan dua akhbarnya, Utusan Malaysia dan Kosmo pada Rabu ini masih belum rasmi.

Pengerusi Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Cawangan Utusan Mohd Taufek Abdul Razak berkata hasil perbincangan dengan Pengerusi Eksekutif Utusan, Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir, pekerja hanya dimaklumkan Utusan akan ditutup sekiranya tiada jalan penyelesaian pembayaran gaji tertunggak pekerja.

"Kami diberitahu kalau tiada jalan penyelesaian, Utusan akan ditutup namun Abd Aziz tidak menyatakan tarikh sebenar tentang perkara itu. Kami mendapat tahu akan ditutup pada Rabu hanya dengar cakap daripada rakan sejawatan.

"Saya juga tidak mendapat perkembangan mengenai mesyuarat Lembaga Pengarah Utusan pada petang tadi, kami cuma dimaklumkan satu taklimat bersama Pengerusi Eksekutif (Abd Aziz) akan diadakan pada 4 petang esok," katanya ketika dihubungi Bernama.

Jelasnya lebih 100 pekerja Utusan Melayu (M) Berhad mengadakan demonstrasi di luar ibu pejabat syarikat itu bagi menuntut tunggakan gaji selama dua hingga tiga bulan.

“Abd Aziz memberitahu, Utusan memang tidak ada duit bayar gaji untuk yang tertunggak dan pada masa-masa akan datang dan syarikat itu juga gagal melupuskan aset yang ada,” katanya.

Di SEREMBAN, Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Jalaluddin Alias hari ini mencadangkan supaya satu tabung khas diwujudkan parti bagi membela nasib pekerja Utusan.

"Khabar mengenai krisis kewangan yang melanda Utusan Malaysia merupakan satu berita menyedihkan bukan sahaja kepada pengamal media bahkan masyarakat.

"Saya juga mahu mengajak rakyat turut sama membantu memberikan derma bagi meringankan beban yang ditanggung mereka walaupun tidak banyak, sekurang-kurangnya derma kecil kita dapat membantu mereka," kata Ahli Parlimen Jelebu itu dalam kenyataan di sini, malam ini.

Beliau dalam pada itu menuntut jawapan daripada pengurusan tertinggi Utusan mengenai masalah yang melanda syarikat akhbar berkenaan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     

Jerebu jejas pendapatan peniaga Tamu Ahad Sabindo

 
     

Jerebu tidak halang orang ramai beriadah

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel