Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pengusaha buah-buahan tropika diminta bersedia untuk Tahun Melawat Malaysia 2020


Tarikh kemaskini: 19/08/2019





RAUB, 19 Ogos (Bernama) -- Para pengusaha tanaman buah-buahan tropika secara komersial khususnya durian perlu membuat persiapan rapi menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020 yang bakal menjelang, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Sim Tze Tzin.

Beliau berkata ini adalah persediaan bagi merancakkan lagi industri agropelancongan yang sudah pasti menjadi antara tumpuan pengunjung dalam dan luar negara, khususnya mereka yang menggemari konsep pelancongan berasaskan dusun.

"Semua pemain industri hendaklah bersiap sedia untuk Tahun Melawat Malaysia 2020 dengan memastikan hasil buah-buahan keluaran mereka adalah betul-betul berkualiti. Misalnya bagi Duriotourism, mereka perlu fokus menjaga kualiti durian.

"Pengusaha ladang diingatkan supaya mematuhi skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP). Daripada segi pengilang pula, mereka mesti pastikan hanya durian terbaik sahaja yang dieksport atau dibekalkan untuk pasaran tempatan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sim berkata demikian selepas melawat kilang milik syarikat M Durian Fruits Sdn Bhd yang memproses pelbagai varieti durian termasuk Musang King sejuk beku dan meninjau dusun durian Tanah Aina Farouq seluas 48 ekar di Raub, Pahang di sini.

Mengulas lanjut, Sim berkata pengusaha ladang juga perlu membuat persiapan agar pelancong benar-benar dapat menikmati keseronokan suasana dusun sambil menikmati keenakan buah-buahan seperti raja buah ‘Musang King’ ketika melancong.

"Pemain industri perlu menyambut baik kedatangan pelancong kerana kita tahu mereka sudah jatuh cinta dengan durian. Sebab itu saya harap pakej agropelancongan yang disediakan juga yang terbaik meliputi buah-buahan lain seperti rambutan, manggis, duku langsat dan sebagainya bagi meyakinkan pengunjung untuk datang lagi," katanya.

Dalam perkembangan lain, Sim berkata Malaysia berjaya mengeksport sebanyak 565 metrik tan durian dalam bentuk biji (whole fruit) sejuk beku ke China sejak Mei tahun ini dengan pendapatan sebanyak RM24.3 juta.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) mengunjurkan 1,000 tan durian jenis premium iaitu Musang King (D197) dan Black Thorn (D200) dieksport ke China setiap bulan.

Katanya kementerian optimis menjadikan durian sebagai satu industri di bawah Sumber Kekayaan Baharu, yang dianggarkan nilaian kepada eksport negara dijangka mencecah kira-kira RM500 juta setahun.

-- BERNAMA  


 

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel