Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia tiba di tanah air


Tarikh kemaskini: 19/08/2019





SEPANG, 19 Ogos (Bernama) -- Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia seramai 479 orang tiba di tanah air hari ini melalui penerbangan dari Jeddah, Arab Saudi.

Ketibaan kumpulan itu dalam penerbangan yang turut disertai Pengerusi Tabung Haji (TH) Tan Sri Md Nor Md Yusof di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, disambut Ketua Pegawai Strategi dan Ketua Kakitangan TH Hizamuddin Jamalluddin, pengurusan kanan TH serta ahli keluarga masing-masing.

Sebanyak 69 penerbangan terlibat dalam operasi membawa pulang 30,200 jemaah haji Malaysia, dengan penerbangan balik terakhir dijadualkan pada 12 Sept ini.

 Masrudi Muhammad, 31, ketika ditemui pemberita menyifatkan panggilan haji itu sangat istimewa dalam hidupnya kerana menerima seruan mengerjakan ibadah haji ke Tanah Suci walaupun tidak mendaftar dengan TH sebelum ini.

"Pada awalnya hanya isteri saya yang telah berdaftar dengan TH dan dia menerima panggilan ke Tanah Suci bersama ibu dan ayahnya.

"Tetapi pada saat akhir, ayah kepada isteri tidak dapat pergi atas faktor kesihatan dan saya dipanggil bagi menggantikan tempatnya, di mana pada saya ia adalah panggilan agung dan sangat istimewa," katanya yang terus mendaftar dengan TH selepas disenaraikan.

Isterinya Nur Diana Mohamed, 30, berkata beliau amat bersyukur kerana diberikan peluang menunaikan haji bersama suaminya walaupun agak bersedih juga kerana ayahnya tidak dapat turut serta ke Tanah Suci.

Menurut beliau, suaminya agak gementar kerana dipanggil pada saat akhir tetapi atas dorongan yang diberikan, Masrudi mula menerima hakikat dan membuat persediaan untuk menjadi tetamu Allah.

"Berbanding saya yang boleh dikatakan bersedia, suami dilihat agak gemuruh tetapi atas dorongan ahli keluarga, kami cekal, terus belajar dan Alhamdulillah, kami dapat mengerjakan ibadah ini sesempurna mungkin," katanya.

Amir Abdul Rahim, 61, yang berkongsi pengalaman ketika berdepan dengan kejadian hujan lebat ketika wukuf di Arafah berkata, keadaan itu tidak seteruk seperti digambarkan dalam media sosial sebaliknya ia berlangsung tanpa kejadian tidak diingini.

"Memang ada kebocoran sedikit pada khemah, tetapi TH mengendalikannya dengan sangat baik dan kami dapat melaksanakan ibadah tanpa gangguan," kata pesara guru dari Pasir Mas, Kelantan itu yang mengerjakan haji bersama isteri, Roskhasiah Abdul Rahim, 52 tahun.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     

Jerebu jejas pendapatan peniaga Tamu Ahad Sabindo

 
     

Jerebu tidak halang orang ramai beriadah

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel